KUALA LUMPUR- Semua pihak membabitkan Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri serta pihak berkuasa tempatan (PBT) harus meningkatkan kepantasan memberi kelulusan tanpa berkompromi dengan peraturan berkuatkuasa bagi menjadikan Malaysia tumpuan para pelabur dalam rantau ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini telah mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) Ke-45, platform perbincangan penting antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri dalam meneliti perkara terkait perancangan pembangunan bandar, desa dan guna tanah negara.
Menurut Anwar yang juga Menteri Kewangan, meski negara telah mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang positif dan peningkatan dari segi kecepatan kelulusan pembangunan, beliau tekankan bahawa Kerajaan Madani akan terus memperkasa agenda bagi memudahcara perniagaan (ease of doing business).
“Mesyuarat hari ini juga telah membincangkan mekanisme kawalan dan pengurusan bagi aktiviti perlombongan unsur nadir bumi (REE) dalam mengimbangi pulangan ekonomi serta mengambil kira aspek kemampanan alam sekitar selain tidak mengganggu kawasan hutan simpan.
“Insya-Allah, sinergi antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri akan terus dimantapkan bagi mewujudkan landskap perancangan pembangunan yang lebih holistik,” kata Anwar.