KUALA LUMPUR – Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Shariff yang memulakan tugas, hari ini meletakkan komitmen kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk membina lebih banyak perumahan mampu milik berkonsepkan MADANI di ibu kota.
Beliau berkata, dengan lebih banyak kemudahan perumahan itu, ia mampu menjadikan ibu kota lebih selesa untuk didiami khususnya golongan muda.
“Sejak semalam saya mendapat banyak maklum balas termasuk dalam aspek perumahan mampu milik.
“Justeru, marilah kita bekerjasama untuk menambah baik kemudahan asas, menyediakan rumah yang lebih baik dan mampu milik serta menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar untuk semua.
“Ini akan membantu menjadikan ibu kota kita menarik kepada golongan muda tempatan dan bakat global,” katanya tanpa mendedahkan sasaran kediaman yang mahu dibina.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena hari pertama beliau memulakan tugasnya.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerahkan surat pelantikan kepada Maimunah bagi menjalankan tugas sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur baharu menggantikan Datuk Seri Kamarulzaman Mat Salleh.
Pelantikan berkenaan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, selaras dengan Subseksyen 4(2), Akta Ibu Kota Persekutuan 1960.
Pada masa sama, Maimunah berkata, dalam pertemuannya dengan Perdana Menteri di Putrajaya, semalam, beliau berkongsi cita-citanya untuk bekerjasama bagi meningkatkan imej global Kuala Lumpur berikutan Malaysia akan mempengerusikan ASEAN tahun depan.
Beliau berkata, amat penting untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar budaya dan kreativiti, bukan hanya ditumpukan kepada pembangunan terancang serta mampan semata-mata.
Katanya, usaha berterusan perlu dilaksanakan bagi menjadikan Kuala Lumpur sebagai ibu kota yang mengekalkan warisan, identiti budaya, maju dalam pembangunan ekonomi tempatan yang dapat menarik pelabur.
“Kita mesti memastikan dapat melindungi mata pencarian, meningkatkan kualiti hidup dan menjadikan bandar ini lebih berdaya tahan terhadap iklim ekstrem,” memetik BH pada Khamis.
Beliau berkata, sebagai perancang dan bekas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), pihaknya amat percaya kepada proses rakyat dan prinsip perkongsian awam, swasta dan rakyat.
“Justeru, ingin mendengar suara semua rakyat Malaysia, warga Kuala Lumpur, pihak berkepentingan dan rakan sekerja saya untuk memahami dan menggalas cabaran ini.
“Saya berharap untuk mendapatkan kepercayaan anda supaya bersama-sama kita boleh menjadikan Kuala Lumpur sebuah bandar pintar yang berdaya tahan, mampan dan berpaksikan rakyat,” katanya.