KUALA LUMPUR – Parti Amanah sedia bertanding mana-mana PRK jika dipersetujui parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan.
Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, ketika ini Amanah mengambil pendirian memberi laluan kepada parti penyandang di kerusi dipertandingkan dalam pilihan raya namun ia bukan keputusan muktamad.
Pendirian ini berdasarkan kepada amalan gabungan perpaduan dalam enam PRK yang dihadapi sepanjang tempoh penggal Parlimen ke-15 ini.
Kenyataan Mohamad itu hadir selepas Presiden Umno, Datuk Seri Zahid Hamidi mengesahkan Barisan Nasional (BN) akan bertanding PRK DUN Mahkota dan memberi amaran kepada pemimpin komponen kerajaan perpaduan tidak menuntut kerusi diperuntukkan kepada sesuatu parti.
Menyusuli kenyataan Zahid, Amanah Kluang semalam mendedahkan masih belum ada keputusan muktamad berhubung parti akan bertanding mewakili kerajaan perpaduan pada PRK 28 Sept depan.
Ketua Amanah Kluang, Mohd Zuhan Mohd Zain, berkata pihaknya tidak menuntut kerusi BN seperti didakwa Zahid kerana kerajaan Johor pada masa ini tidak dibina sebagai kerajaan perpaduan.
Terdahulu, Zuhan mendesak kepimpinan Pakatan Harapan (PH) dan BN memberikan laluan kepada calonnya bertanding PRK Mahkota yang pernah dimenangi parti itu pada PRU14.
PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Sharifah Azizah Syed Zain daripada BN pada 2 Ogos lalu.
Sementara itu, Mohamad berkata isu pembahagian kerusi dalam PRU16 masih belum dibincang dan diputuskan badan tertinggi gabungan perpaduan.
Justeru, Amanah akan terus komited kepada usaha mengukuhkan perpaduan dalam kalangan parti komponen perpaduan untuk mencapai kemenangan dalam PRU16, katanya.