KUALA LUMPUR – Kekalahan teruk UMNO dalam Pilihan Raya di enam negeri membangkitkan persoalan iaitu adakah DAP akan mempersoalkan kepada PKR bahawa Umno menjadi liabiliti kepada kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketua Pemuda Umno Bahagian Kapar, Mohd Affifi Mohd Aris berkata, adakah liabiliti ini hanya melibatkan individu sahaja di dalam UMNO yang menyebabkan Perdana Menteri terpaksa membuat pilihan baharu pada masa akan datang demi memastikan rakyat kembali yakin kepada beliau.
“Kekalahan ini saya sifatkan sebagai “menang sorak, kampung tergadai”. Ini kerana, pada awalnya, ahli Umno (BN) dimomokkan dengan penggabungan BN-PH akan mengutungkan dengan formulasi, PH akan menguasai negeri-negeri di Pantai Barat dan Umno (BN) akan menguasai negeri-negeri di Pantai Timur.
“Akan tetapi, apa yang berlaku sebaliknya, gabungan BN-PH ditolak oleh pengundi walaupun dengan laungan “perpaduan”. Ini membuktikan, formulasi ini hanya angan-angan mat jenin bagi BN-PH, kecuali bagi Parti Demoktarik Rakyat (DAP) yang bertanding di 47 DUN dan memenangi 46 kerusi. Hakikatnya, DAP semakin kukuh, yang lemah adalah Umno (BN).
“Saya tertanya, adakah DAP tidak akan mempersoal Parti Keadilan Rakyat (PKR) bahawa Umno (BN) menjadi liabiliti kepada Kerajaan pimpinan Perdana Menteri Ke-10 (PMX), atau lialibiti ini hanya melibatkan individu sahaja di dalam Umno yang menyebabkan PMX terpaksa membuat pilihan baharu pada masa akan datang demi memastikan rakyat kembali yakin kepada PMX,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Secara peribadi Affifi menegaskan,UMNO tidak bersalah, beliau menyanjung tinggi parti yang mana sewaktu beliau kecil, atuk nenek dan keluarganya berjuang habis-habisan demi Umno (BN) dan kini beliau melihat kemerosotan UMNO semakin parah.
“Azam saya baiki parti ini mesti bermula dengan Pemuda UMNO.
“Sesungguhnya, Umno (BN) masih lagi parti perjuangan yang disayangi oleh rakyat Malaysia, jangan kita bunuh parti ini demi kepentingan diri,” tegasnya.
Kata Affifi lagi, melihat kepada keadaan ini, UMNO (BN) perlu bertanggungjawab sepenuhnya dan mesti diadakan post-mortem yang menyeluruh.
“Ini adalah tanggungjawab UMNO (BN) sepenuhnya untuk kembali bangkit dan kembali menjadi dominasi seperti dahulu yang pernah dilabel sebagai UMNO (BN) : The Longest Serving Party in Democratic World.
“UMNO(BN) boleh mengambil iktibar daripada Partai Golongan Karya (Golkar) yang pernah mendominasi politik Indonesia sejak 1972, dan Kongres Kebangsaan India (INC) yang mendominasi politik India sejak 1952, kini hanya menjadi parti serpihan kepada parti yang dominasi di Indonesia dan India. Apakah nasib UMNO (BN) pada PRU-16 dan tahun-tahun berikutnya?
“Sejujurnya, saya mengkagumi pemimpin yang berjiwa besar dan mendahulukan parti, Datuk Seri Najib Razak yang mengambil tanggungjawab penuh selepas UMNO (BN) tidak lagi menjadi Kerajaan selepas PRU 14.
“Namun, beliau tetap utuh berjuang demi mengembalikan keyakinkan rakyat kepada UMNO (BN) sehingga kita menjadi sebahagian daripada Kerajaan pada tahun 2020 dan memimpin kerajaan sebagai Perdana Menteri pada tahun 2021,” ulasnya.
Tambah Affifi lagi, UMNO melalui BN telah kalah di 89 kerusi Dewangan Undangan Negeri (DUN) pada PRN ke 15 bagi enam negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Selangor dan Negeri Sembilan.
“Kekalahan ini jika dikira melalui peratusan adalah sebanyak 82 peratus nilai kegagalan Umno. Ini merupakan keputusan terburuk dan memalukan dalam sejarah politik Malaysia untuk sebuah parti tertua yang berusia 77 tahun.
“Sebanyak 108 kerusi DUN UMNO-BN tandingi, namun, hanya 19 sahaja dimenangi (18 peratus peratusan kemenangan) dengan sumbangan terbesar daripada UMNO Negeri Sembilan sebanyak 14 kerusi DUN.
“Ini merupakan satu isyarat jelas daripada rakyat Malaysia tentang penolakan UMNO (BN) pada masa kini, lebih sesuai ditakrifkan sebagai manifestasi rakyat terhadap UMNO (BN).
“Maafkan saya, walaupun kenyataan ini perit, ia adalah hakikat yang berlaku pada hari ini,” ucap beliau.