Rancak bercucuk tanam

- Advertisement -

UMPAMA pepatah, berbudi pada tanah pasti akan mendapat hasilnya. Itu yang kini dilakukan pelakon filem dan drama berkakiber, Syafie Naswip, 29.

Pelakon filem Mukhsin dan Songlap itu begitu rancak melakukan aktiviti berkebun sayur-sayuran di kawasan rumahnya secara kaedah tanaman dalam pasu sejak Januari lalu.

Syafie berkata, sudah banyak kali dia menikmati hasil tanamannya itu dan ada yang dijualnya. Sekali gus dapat menjana pendapatan sampingan lain.

“Alhamdulillah, walaupun sekarang masih Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dan sudah lama saya berehat dari penggambaran, tapi sepenuh masa di rumah tetap dilakukan aktiviti.

“Dengan hasil bercucuk tanam ini, sedikit sebanyak menjimatkan perbelanjaan harian seperti membeli sayur. Malah, menariknya lagi saya juga boleh menjual untuk tambahan pendapatan. Tidaklah rasa terjejas sangat,” katanya.

Antara sayur-sayuran ditanam Syafie di ‘kebunnya’ ialah kacang buncis, sawi bunga, cili api, bendi, kucai, kunyit serai, halia, kangkung, pokok herba dan banyak lagi.

Bagaimanapun, baru-baru ini apabila kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Selangor dan Kuala Lumpur, Syafie serta rakan artisnya yang sudah berlakon sejak kecil bekerjasama membuat aktiviti amal.

Mereka sepakat melakukan jualan barangan kesayangan atau

‘prelove’ seperti pakaian pada harga berpatutan untuk mengumpul dana bagi membantu membeli keperluan dapur untuk disumbangkan kepada keluarga yang mengalami pendapatan terjejas akibat Covid-19.

 

BUAT keputusan melelong trofi kemenangannya di FFM Ke-25 demi lengkap misi bantuan.
BUAT keputusan melelong trofi kemenangannya di FFM Ke-25 demi lengkap misi bantuan.

 

“Melihat situasi penularan Covid-19 dalam negara yang makin membimbangkan sekarang, ramai orang kehilangan pekerjaan. Malah, ada juga yang mengalami kemurungan hingga sanggup membunuh diri kerana kesempitan hidup.

“Saya pun pernah hidup susah dulu, jadi saya sangat bersimpati dengan keadaan menimpa sebilangan warga Malaysia akibat pandemik ini. Terutama, bagi mereka yang berkeluarga dan mempunyai anak ramai.

“Ditambah, saya dan adik pun setiap hari mendapat kiriman mesej (DM) di Instagram dari orang ramai tidak dikenali meminta bantuan kami. Saya tiada wang yang banyak, jadi kami anjurkan jualan ‘prelove’ ini,” katanya.

 

SYAFIE tampil hulur bantuan keperluan dapur kepada keluarga terjejas pendapatan akibat Covid-19.
SYAFIE tampil hulur bantuan keperluan dapur kepada keluarga terjejas pendapatan akibat Covid-19.

 

Menurut Syafie, dengan pembabitan rakan artis lain berminat untuk turut sama menyertai dapat dikumpulkan lebih RM8,000 untuk dana bantuan itu.

Malah, menerusi usaha kemasyarakatan yang murni itu, Syafie dan rakan membantu lebih 100 keluarga memerlukan. Katanya, bantuan tidak disalur secara kewangan, tetapi semua keluarga menerima sumbangan keperluan makanan diperlukan.

Bagi melengkapkan misi bantuannya, Syafie turut membuat keputusan melelong trofi kemenangannya di Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-25 menerusi kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik dengan harga RM10,000 dan difahamkan kini sudah ada pembeli.

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat