Kluster KTV Lonjak Kes COVID-19 di Singapura

- Advertisement -

KUALA LUMPUR : Sejumlah 41 kes baharu COVID-19 yang dilaporkan di Singapura adalah berkait rapat dengan Kluster KTV membabitkan pusat karaoke.

Penambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan individu yang dijangkiti dalam kluster berkenaan meningkat kepada 53 orang setakat ini.

Memetik laporan Channel News Asia (CNA), Menteri Kesihatan Singapura, Ong Ye Kung menyifatkan pertambahan kes positif kluster berkenaan sebagai ‘menyusah dan mengecewakan’.

Ong meluahkan kekecewaannya setelah pelbagai usaha dilakukan oleh kerajaan bagi memastikan tiada kluster besar tercetus daripada aktiviti sosial sedemikian.
“Kita sedar kes-kes sebegini berlaku di Korea, Hong Kong iaitu daripada aktiviti sosial waktu malam sehingga mencetuskan kluster. Jadi kita tidak pernah benarkan aktiviti seperti itu berlaku untuk satu tempoh yang panjang.

“Premis yang menyediakan khidmat hiburan, mereka (pelanggan) berada dalam lingkungan yang rapat, kita tidak pernah benarkan. Kita belajar dari Hong Kong dan Korea. Jadi apa yang berlaku kini sangat menyusahkan dan mengecewakan,” luah beliau.

Kementerian Kesihatan Singapura mendedahkan kes indeks kepada Kluster KTV mula dikesan membabitkan wanita Vietnam yang mendapatkan rawatan di sebuah klinik di negara itu kerana mengalami masalah pernafasan.

Wanita berkenaan kemudian dibawa ke hospital sebelum disahkan positif COVID-19.

Hasil siasatan mendapati, wanita berkenaan mempunyai sejarah perjalanan ke banyak premis KTV di negara tersebut.

Menurut laporan CNA lagi, kes-kes yang berkaitan dengan kluster ini turut melibatkan seorang penumpang kapal peranginan Dream Cruises yang mendapat jangkitan di lokasi berasingan.

Ketika ini, pengesanan kontak rapat masih giat dijalankan dan kementerian kesihatan menjangkakan pertambahan dalam masa beberapa hari akan datang.

Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan Singapura turut menggesa mana-mana individu yang telah hadir ke KTV di negara tersebut melakukan saringan COVID-19.

Setakat ini, kementerian itu menyenaraikan lima pusat KTV yang dikaitkan dengan kluster berkenaan iaitu Supreme KTV di pusat beli belah Far East; Empress KTV di pusat beli belah Tanglin; Club Dolce di Balestier Point; WU Bistro di Golden Mile Complex dan Club De Zara Pte di Pusat Tekstil.

– Astro Awani

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat