9 Beranak Positif Covid-19 Secara Serentak

- Advertisement -

GEORGETOWN: Tidak pernah terbayang oleh sepasang suami isteri di sini mereka akan dijangkiti Covid-19, apatah lagi melibatkan seluruh ahli keluarga termasuk anak kecil yang masih menyusu.

Namun, itulah yang berlaku terhadap Zuzana Abdul Wahab, 46, apabila dia dan suaminya, Ku Shafri Ku Saidin, 47, bersama tujuh anak mereka berusia antara empat hingga 22 tahun disahkan positif wabak itu pada Jun lalu.

Cerita Zuzana, semuanya berlaku apabila mereka sekeluarga secara tiba-tiba mengalami demam secara serentak.

“Demam yang berlarutan menyebabkan dua anak saya berusia 20 dan 16 tahun terlebih dahulu menjalani ujian saringan Covid-19 pada 21 Jun lalu dan mereka disahkan positif wabak tersebut sehari kemudian.

“Susulan itu, kami yang lain pula diminta menjalani ujian saringan dan keputusannya juga positif. Ketika itu, saya terus terbayangkan kematian dan ke­a­daan anak-anak nanti.

“Saya dan dua anak (kedua dan keempat) telah ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Jawi manakala suami pula terpaksa dikuarantin di Hospital Pulau Pinang (HPP) berikutan menghidap sakit buah pinggang dan darah tinggi,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

 

“Bayangkan, anak kecil yang tidak pernah terpisah terpaksa tinggal bersama abangnya di rumah selama seminggu manakala suami saya mengalami masalah pada paru-paru dan dimasukkan ke wad rawatan khas selama seminggu.

“Wabak ini sememangnya mengajar saya erti kecekakalan dalam menempuh setiap dugaan mendatang. Berkat kesabaran dan doa, kami sekeluarga dapat bertemu semula pada awal Julai lalu setelah semua­nya disahkan negatif,” jelasnya.

Dalam pada itu luah Zuzana, kegembiraan yang dirasai sebaik sahaja disahkan negatif bagaimanapun tidak mampu untuk menandingi stigma masyarakat sekeliling.

“Kami seolah-olah seperti dipinggir dan dipersalahkan sehingga ada yang sanggup mengelak atau berpatah balik setiap kali bertemu. Ada juga yang tidak berani melalui hadapan rumah bimbang dijangkiti.

“Saya yang melalui keadaan itu terpaksa ada kalanya berasa tertekan dan ketika ini, mental dan jiwa perlu kuat untuk menghadap orang sekeliling.

“Oleh itu, saya merayu masyarakat jangan menyisihkan kami bekas pesakit Covid-19 kerana kami tidak pernah meminta untuk dijangkiti,” jelasnya. – UTUSAN

author avatar
Ahmad Fansuri Mohd Nasir
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat