Pelupusan Separuh Hutang Untuk Elak Peneroka Bayar Ansuran RM1,000 Sebulan

- Advertisement -

PETALING JAYA: Inisiatif pelupusan hutang peneroka yang diumumkan kerajaan merupakan dasar yang membantu para peneroka melangsaikan hutang sekali gus mengelakkan mereka terbeban dengan bayaran balik pinjaman sehingga RM1,000 sebulan.

Bayaran bulanan yang tinggi itu kerana secara purata, hutang peneroka mencecah RM80,000 ke RM100,000 seorang, malah terdapat segelintir peneroka yang hutangnya mencecah RM200,000 yang terkumpul sejak 20 hingga 30 tahun lalu.

Namun, menerusi pelupusan hutang dan proses pelarasan hutang sehingga 31 Disember 2019, sebanyak 92,400 peneroka seluruh negara mendapat manfaat apabila sehingga 80 peratus daripada jumlah hutang mereka dilupuskan oleh kerajaan dengan bersyarat.

Kadar bayaran balik hanya RM250 sebulan bagi peneroka yang bersama Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan maksimum RM300 bagi peneroka yang tidak bersama Felda.

Pengarah Besar Felda, Datuk Amiruddin Abdul Satar berkata, jumlah tunggakan hutang yang tinggi itu didorong pelbagai faktor termasuk proses penanaman semula dan bantuan sara hidup bersifat pinjaman yang disalurkan selama ini.

Tegasnya, Felda sentiasa peka dengan semua permintaan peneroka dan secara purata, telah menyara kehidupan peneroka selama 10 tahun.

“Isu hutang ini timbul apabila pengaudit mengesan hutang sehingga RM10 bilion dan jika akaun Felda tidak ‘dibersihkan’, akan timbul isu lain. Dari situ kami memikirkan cadangan supaya hutang dilupuskan kerana jika mengharapkan bayaran bulanan mengikut jumlah hutang, sudah tentu mereka tidak mampu.

“Oleh itu, seeloknya hutang tersebut dilupuskan dan kami ambil kesempatan ini untuk mula dengan niat, hasrat dan model baharu yang lebih mampan dengan kerjasama daripada peneroka,” katanya dalam sidang akhbar secara maya, semalam.

Justeru, Amiruddin menegaskan, apabila Felda memberikan tawaran ini, diharap para peneroka lebih percaya dan bersama Felda kerana isu kepercayaan dalam kalangan peneroka adalah perkara yang serius.

“Di mana kita akan dapat tawaran pemansuhan hutang yang begitu banyak? Jadi, setakat laporan awal minggu ini boleh dikatakan hampir 20 peratus peneroka telah menerima secara positif.

“Mungkin terdapat kekangan termasuk pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menjadikan proses penerangan secara bersemuka dengan peneroka agak lambat. Bagaimanapun, kita akan cuba menyampaikan kepada semua peneroka supaya mereka memahami inisiatif kami,” ujarnya.

Pada 7 Julai lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelupusan sebahagian pinjaman peneroka berjumlah RM8.3 bilion.

Presiden Alumni Majlis Belia Felda Malaysia (AMBFM), Datuk Abdullah Abu Bakar kemudian menggesa Felda memberi penjelasan kepada peneroka kerana mendakwa beberapa isi kandungan perjanjian dilihat berat sebelah dan tidak menyebelahi peneroka.

Mengulas mengenai stigma Felda mengambil alih ladang peneroka, Amiruddin menegaskan, Felda hanya mengambil alih pengurusan ladang dan bukannya mengambil alih ladang secara penuh.

“Hasrat Felda adalah untuk mengurus ladang seperti mana-mana syarikat ladang besar lain. Terdapat banyak salah faham di situ dan kita akan memberi penjelasan secara berperingkat,” tambahnya.

– UTUSAN

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat