Keluarga Allahyarham Adib tarik balik rayuan komital terhadap Tommy Thomas

- Advertisement -

KUALA LUMPUR- Keluarga anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim menganggap bahawa proses dan prosiding penghinaan Mahkamah terhadap Tommy Thomas dan Jabatan Peguam Negara, selesai dan tamat.

Peguamcara mewakili bapa arwah Muhammad Adib, Tetuan Mohd Zubir Embong & Associates memberitahu, keluarga allahyarham telah mengarahkan peguamcara untuk menarik balik rayuan yang masih berlangsung di Mahkamah Rayuan, berhubung permohonan mengkomitkan Tommy Thomas atas tuduhan menghina Mahkamah, kerana pihak keluarga tidak lagi mahu memanjangkan perkara ini.

Katanya, keluarga Muhammad Adib berharap masyarakat dapat membenarkan ahli keluarga arwah untuk meneruskan kehidupan dengan memandang ke hadapan serta memulakan kehidupan baru.

“Pada masa yang sama, harus ditegaskan bahwa keputusan penyelesaian di peringkat rayuan penghinaan Mahkamah ini tidak sama sekali mengusik atau mengubah keputusan dan dapatan oleh Mahkamah Koroner pada 27 September 2019, yang mengesahkan bahawa arwah Adib mati dipukul (walaupun pembunuhnya tidak dapat ditemui hingga ke hari ini), dan bahawa kematian arwah turut disumbangkan oleh kegagalan pasukan PDRM dan FRU mengawal rusuhan. Alasan penghakiman setebal 52 halaman oleh Hakim Koroner itu tidak pernah diakas oleh mana-mana Mahkamah yang lebih tinggi, dan dengan yang demikian itu, kekal sebagai dapatan fakta yang autoritatif.

“Pendirian keluarga arwah untuk menarik balik rayuan komital ini juga tidak bererti bahawa usaha mencari pembunuh arwah Adib tidak boleh diteruskan oleh PDRM, kerana siasatan jenayah tiada had masa di sisi undang-undang. Perjuangan menuntut keadilan untuk seorang anggota kerajaan yang mati dibunuh ketika dalam bertugas menjaga keamanan juga boleh diteruskan oleh mana-mana masyarakat sivil, orang awam, serta badan-badan bukan kerajaan yang prihatin,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Untuk rekod, seperti yang telah dilaporkan secara meluas sebelum ini, pada 29.11.2021 keluarga Muhammad Adib telah pun menerima pampasan berjumlah RM1.5 juta daripada kerajaan. Pampasan tersebut adalah sebagai bantuan prihatin daripada kerajaan atas musibah yang menimpa ahli keluarganya, anggota bomba yang cedera parah dipukul dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman pada 27 November 2018 dan kemudian menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember 2018.

Oleh itu, terdapat tiga rayuan di Mahkamah Rayuan. Pertama, rayuan oleh Jabatan Peguam Negara bagi menegaskan bahawa Hakim Koroner tiada bidangkuasa untuk mendengar dan menghukum seseorang, termasuk Tommy Thomas, atas kesalahan menghina Mahkamah; manakala dua lagi rayuan adalah oleh bapa arwah Muhammad Adib bagi mencabar keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan bahawa Tommy Thomas mempunyai hak merayu dan rayuannya diterima.

“Rayuan oleh Jabatan Peguam Negara tersebut telah sebelum ini didengar oleh Panel Mahkamah Rayuan, yang kemudiannya pada 8 Februari 2022 memutuskan menolak rayuan tersebut, sekali gus mengesahkan bahawa Hakim Koroner sememangnya mempunyai bidang kuasa untuk mendengar prosiding komital serta menghukum seseorang atas kesalahan menghina Mahkamah.

“Susulan keputusan tersebut, Jabatan Peguam Negara telah seterusnya memfailkan permohonan kebenaran untuk merayu ke Mahkamah Persekutuan, iaitu tingkat tertinggi kehakiman di negara ini.

“Manakala dua lagi rayuan oleh bapa arwah Muhammad Adib telah digantung pendengarannya, sementara menantikan proses rayuan ke Mahkamah Persekutuan oleh Jabatan Peguam Negara tersebut,” ujarnya.’

Menurut firma itu, susulan daripada arahan keluarga arwah Muhammad Adib agar rayuan bapanya ditarik balik, pihak Peguam, melalui Tetuan Mohd Zubir Embong telah memfailkan Notis Menarik Balik Rayuan pada 31 Mei 2022.

“Ini diikuti kemudiannya dengan pengesahan oleh Jabatan Peguam Negara bahawa Jabatan Peguam Negara turut menarik balik permohonan kebenaran untuk merayu ke Mahkamah Persekutuan,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat