SHAH ALAM – Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu menggugurkan dua pertuduhan rasuah terhadap pengarah Pristine Offshore Sdn Bhd, Chew Ben Ben dan syarikat berkenaan selepas mendapati pertuduhan yang dikemukakan pihak pendakwaan bersifat kabur serta mengandungi unsur ketidakjelasan.
Keputusan itu dibuat Hakim Tuan Awang Kerisnada bin Awang Mahmud selepas mendengar hujahan pihak pembelaan yang diketuai Tan Sri Dzulkifli Ahmad, bekas Ketua Persuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
Mahkamah dimaklumkan kedua-dua tertuduh sebelum ini pernah diberikan pelepasan tidak membebaskan diri (DNAA) sebelum didakwa semula atas pertuduhan sama.
Mengikut pertuduhan, Chew didakwa antara 28 Ogos hingga 14 Oktober 2020 di sebuah bank di Bukit Damansara, Kuala Lumpur, melalui seorang individu lain telah secara rasuah memberikan wang berjumlah RM207,850 kepada seorang ketua pegawai eksekutif syarikat bagi memastikan perjalanan satu projek berkaitan perkhidmatan marin “berjalan lancar”.
Sementara itu, Pristine Offshore Sdn Bhd pula didakwa sebagai organisasi komersial di bawah Seksyen 17A Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 berhubung transaksi sama.
Dalam penghakimannya, mahkamah menyatakan penggunaan frasa “berjalan lancar” dalam pertuduhan tersebut terlalu umum dan boleh ditafsirkan dalam pelbagai maksud sama ada positif atau negatif.
Hakim berkata, walaupun elemen pemberian suapan dinyatakan dengan jelas, pertuduhan berkenaan gagal memperincikan apakah perbuatan sebenar yang diminta atau dilakukan sebagai balasan kepada suapan tersebut.
Menurut beliau, keadaan itu boleh menjejaskan hak tertuduh untuk memahami secara jelas pertuduhan yang dihadapi dan menyediakan pembelaan sewajarnya.
Mahkamah turut merujuk beberapa keputusan terdahulu termasuk kes Chinniah v PP dan Shawal Haji Mohd Yassin v PP berkaitan prinsip pertuduhan kabur serta kecacatan yang tidak boleh dipulihkan di bawah Seksyen 422 Kanun Tatacara Jenayah.
Sehubungan itu, mahkamah membenarkan permohonan pembelaan untuk membatalkan kedua-dua pertuduhan dan mengarahkan wang jaminan serta pasport tertuduh dipulangkan.
Bagaimanapun, hakim menegaskan keputusan tersebut bukan merupakan pelepasan dan pembebasan penuh memandangkan merit kes belum dibicarakan sepenuhnya.



