Harga Tiket Penerbangan Naik 500 Peratus, Jangan Aniaya Rakyat Sabah – Bung Moktar

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin mendesak syarikat penerbangan tempatan agar tidak menipu dan menganiaya rakyat Sabah dengan mengambil kesempatan menaikkan harga tiket penerbangan secara melampau menjelang musim perayaan Aidilfitri.

Bung Moktar ketika ditemui SuaraTV berkata, beliau telah pun berbincang dan mengemukakan beberapan bukti serta maklumat mengenai perkara ini kepada Menteri Pengangkutan untuk diambil tindakan selanjutnya.

“Saya telah menaikkan status tentang hal ini di Facebook dan saya telah berhubung dengan Menteri Pengangkutan. Saya telah menghantar beberapa maklumat kepada Menteri Pengangkutan, iaitu berapa tiket yang telah dibeli oleh orang-orang Sabah yang ingin balik ke kampung.

“Tetapi saya dapat makluman tadi, pengendali MAS dan AirAsia tidak percaya dengan apa yang saya katakan. Mereka menafikan perkara ini. Seharusnya mereka melihat dan cukup-cukuplah menipu rakyat dan kerajaan. Bukti saya telah kemukakan kepada menteri yang berkenaan.

“Ada yang harga tiket 2 ribu, 3 ribu dan ini menunjukkan bahawa pengendali AirAsia dan MAS telah menganiaya rakyat Sabah yang hendak balik berhari raya,” katanya kita ditemui semasa Majlis Berbuka Puasa UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC).

Memahami situasi semasa pandemik Covid-19, Ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata, perkara tersebut tidak sepatutnya menjadi alasan syarikat penerbangan tempatan menaikkan harga tiket sehingga melebihi 500 peratus.

Jelasnya lagi, pihak berkenaan perlu mencari jalan penyelesaian tanpa menekan rakyat Sabah yang sememangnya turut berhadapan dengan kemerosotan ekonomi.

“Apabila saya mendapat maklumat dan ramai dikalangan rakyat Sabah yang hendak balik ke Sabah semasa hari raya dan bulan ramadhan ini, tiket AirAsia dan Malaysia Airlines melambung tinggi dianggarkan 500 peratus dan ini sangat mengejutkan.

“Seharusnya sistem penerbangan MAS dan AirAsia kita faham bahawa mereka melalui zaman pandemik, tetapi seharusnya mereka jangan menekan rakyat lebih lebih lagi rakyat juga sedang berhadapan dengan ekonomi yang tidak baik.

“Sudah tentu dimasa lalu, tiket murah penerbangan pun banyak. Mutakhir ini penerbangan sedikit, tetapi tiket dilambung tinggi. Ini tidak patut. Mereka (MAS dan AirAsia) kena mencari jalan lain untuk memastikan bahawa operasi mereka sentiasa relevan dan boleh menampung kos mereka. Jangan mengenakan untuk penerbangan Sabah ini menjadi beban dibahu rakyat,” katanya.

Media tempatan sebelum ini melaporkan syarikat penerbangan komersial tempatan yang menyediakan laluan penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu dan Kuching, menawarkan tiket antara RM300 dan ke atas untuk penerbangan pergi balik semasa bukan hari perayaan.

Bagaimanapun, semakan laman web syarikat penerbangan komersial baru-baru ini, menyaksikan tiket penerbangan melonjak sehingga RM2,000 (penerbangan pergi balik) iaitu peningkatan kira-kira 566 peratus, menjelang tempoh perayaan Aidilfitri dari 29 April hingga 8 Mei.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
230,282FollowersFollow
27,502FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat