Pengampunan Agong tidak boleh dihalang – Haniff Khatri

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong tiada hadnya dan tidak tertakluk kepada mana-mana undang-undang sedia ada mahu pun Akta Tahanan di Rumah yang sedang digubal kerajaan semasa.

Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, hak mutlak pengampunan berkenaan memang sudah wujud di tangan Sultan dan Raja-Raja Melayu, sebelum Malaysia mencapai kemerdekaan lagi, pada 31 Ogos 1957 lagi.

Bagaimanapun, Haniff berkata, selepas Malaysia mencapai kemerdekaan perkara berkenaan ditulis dalam Perlembagaan Persekutuan, namun, tidak dihadkan.

“Jadi jika pun Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada ketika itu (dalam titah addendum) mengatakan baki hukuman banduan berkenaan dilaksanakan dari istana beta, maka perkara itu sah kerana kuasa baginda tidak boleh dihalang (oleh mana-mana undang-undang sedia ada atau sedang digubal kerajaan),” katanya.

Itulah antara rumusan dibuat oleh ketika ditanya sama ada titah addendum dihantar kepada Pejabat Peguam Negara (AGC), bertarikh 29 Januari 2024 sah dan boleh dilaksanakan atau tidak jika tanpa dibentangkan atau mendapat nasihat Lembaga Pengampunan, lapor Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika Wacana Sinar edisi ke-471 bertajuk Titah Addendum: Krisis Perlembagaan atau Politik .

Program yang dihoskan oleh Ismail Adnan itu turut dibarisi panelis hebat iaitu Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) merangkap peguambela, Datuk Hasnal Rezua Merican.

Haniff berkata, pengampunan yang diberikan Yang di-Pertuan Agong kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi kes duluan yang nampak seperti layanan dua darjat.

“Golongan kenamaan mendapat pelepasan dan pengampunan seperti itu, manakala orang biasa mungkin nak memohon pun tidak dapat, namun itu adalah kuasa Agong.

“Kalau orang ramai tidak berpuas hati dengan kuasa ini maka kita kena tuntut wakil rakyat supaya segera pergi ke Parlimen untuk membentangkan pindaan rang undang-undang terutamanya Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan untuk meletakkan had kuasa pengampunan Agong,” katanya.

Selagi orang ramai dan pengundi tidak berani menuntut wakil rakyat masing-masing berbuat demikian dan berkata adil atau tidak kata Haniff masalah berkenaan akan berterusan.

“Kenapa rakyat tidak berani berbuat demikian kerana pada 1993, pindaan dibuat terhadap Perlembagaan Persekutuan di mana kuasa kekebalan Raja dikurangkan.
“Kenapa pada masa itu boleh? Kenapa sekarang jadi takut dan kecut? Rapuh tak rapuh sokongan di Parlimen bukan masalah rakyat,” katanya.

Menurutnya, jika Ahli Parlimen tidak berani berbuat demikian maka wakil rakyat berkenaan boleh dianggap sebagai ‘bacul’ (pengecut) dan gagal memperjuangkan hak rakyat.

Bagaimanapun, Haniff berkata, jika dibandingkan dengan negara lain sebenarnya sistem perundangan dan pengampunan di Malaysia adalah lebih baik termasuk Amerika Syarikat yang diangggap adil dan mengikut acuan sistem pemerintahan demokrasi.

“Sebenarnya adakah kita tahu bahawa pada awal Disember lalu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden mengeluarkan pengampunan penuh kepada anaknya Hunter (yang menghadapi hukuman atas dua kes jenayah berkaitan pengelakan cukai dan pembelian senjata api).

“Adakah itu tidak sah kerana tindakannya dibenarkan di bawah Perlembagaan AS. Tiada pula dibangkitkan isu konflik kepentingan tetapi di Malaysia berbeza,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat