SEMENYIH: Barisan Nasional (BN) memberi isyarat akan mengambil pendekatan rundingan menyeluruh dalam menentukan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag di Sabah, susulan kekosongan kedua-dua kerusi berkenaan.
Menurut Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, langkah itu perlu mengambil kira kedudukan BN sebagai sebahagian daripada kerajaan negeri Sabah, sekali gus menuntut perbincangan bersama rakan-rakan politik di peringkat negeri , memetik laporan BERNAMA.
Beliau berkata rundingan berkenaan bukan hanya melibatkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), malah turut merangkumi parti-parti lain yang pernah bertanding di kawasan terbabit sebelum ini.
“Oleh kerana kita menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri Sabah, tidak mustahil untuk kita mengadakan perundingan bukan sahaja dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), tetapi juga parti-parti lain yang pernah bertanding di Lamag sebelum ini,” katanya.
Zahid turut menjelaskan bahawa pendekatan sama akan diguna pakai bagi kerusi Parlimen Kinabatangan, dengan mengambil kira tempoh penggal Parlimen yang masih berbaki kira-kira dua tahun.
“Bagi Parlimen Kinabatangan, kita juga akan berunding…jika perundingan dengan semua pihak dapat dilakukan, itu adalah kaedah yang lebih baik memandangkan tempoh Parlimen masih berbaki sehingga 24 bulan,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Agung Barisan Kemajuan India Se-Malaysia (IPF), di sini hari ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijadual mengadakan Mesyuarat Khas pada 16 Disember ini bagi membincangkan urusan berkaitan PRK berkenaan.



