Keluarga Ahmad Dhani tak jalani kuarantin 10 hari?

- Advertisement -

Jakarta: Keluarga pemuzik terkenal Indonesia, Ahmad Dhani, 49, bersama isteri, Mulan Jameela, 42, dan anak-anak iaitu Al Ghazali, 24, El Rumi, 22, dan Dul Jaelani, 21, kini menjadi perhatian netizen Indonesia kerana didakwa tidak menjalani kuarantin selepas pulang dari Turki dan Dubai, baru-baru ini.

Terdahulu, dakwaan itu dikongsikan individu juga pemilik akaun Instagram dikenali, Adam Deni yang memuat naik beberapa bukti daripada netizen sebagai perkongsian maklumat terhadap perlanggaran undang-undang oleh keluarga itu.

Antara bukti dipaparkan adalah mesej daripada seorang netizen yang mendakwa bertemu keluarga Ahmad Dhani di Cappadocia, Turki pada 2 Disember lalu.

Tujuh hari kemudian iaitu pada 9 Disember pula, ada netizen mendakwa bertemu Ahmad Dhani dan Mulan di pusat membeli-belah di Pondok Indah manakala anak mereka, Al Ghazali pula keluar menonton wayang dengan kekasihnya, Alyssa Daguise.

Kenyataan itu turut disertakan dengan bukti bergambar daripada netizen.

Tidak hanya itu, netizen juga mendakwa Al, El dan Dul melakukan aktiviti bersiar-bersiar menaiki helikopter yang dianjurkan oleh satu jenama fesyen pada 11 Disember pula.

Gambar ketika aktiviti itu dijalankan dimuat naik di akaun penganjur program, yang kemudiannya dipadamkan selepas isu tidak menjalani kuarantin oleh keluarga itu menjadi bualan hangat di media sosial.

Mengikut perkiraan netizen, sekiranya mereka sekeluarga pulang ke Indonesia pada 3 Disember lalu, maka proses kuarantin perlu di jalani adalah 10 hari dan berakhir pada 13 Disember.

Sementara itu, peguam Ahmad Dhani iaitu Ali Lubis menyangkal dakwaan dibuat netizen dan menegaskan bahawa anak guamnya menjalani kuarantin kendiri bersama keluarga di vila peribadi mereka.

“Selepas pulang (dari Turki), mereka terus menjalani kuarantin dan tidak pergi ke mana-mana, termasuklah ke pusat membeli belah dan lain-lain,” katanya kepada media Indonesia.

Terdahulu, kerajaan Indonesia menetapkan peraturan kepada rakyatnya dan warga negara asing yang tiba ke Indonesia dari luar negara perlu menjalani tempoh kuarantin selama 10 hari.

Agensi

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
27,613FollowersFollow
13,813SubscribersSubscribe

Topik Hangat