Tangga ikonik kedua Putrajaya

- Advertisement -

KEINDAHAN landskap taman dan tasik di pusat pentadbiran negara, Putrajaya sememangnya menggamit tumpuan ramai.

Dibangunkan dengan konsep bandar dalam taman, ia mempunyai 13 taman awam utama yang unik, sekali gus menarik perhatian pengunjung.

Ia menjadi tumpuan penduduk Lembah Klang untuk menghabiskan cuti hujung minggu dan menjadi destinasi pelancongan utama untuk pelancong dari dalam serta luar negara.

Reka bentuk bangunannya juga memukau pandangan dan tidak hairan jika ramai yang mahu mengabadikan momen indah dalam hidup mereka di Putrajaya.

Selain itu, Putrajaya turut menjadi tumpuan untuk aktiviti riadah dan bersukan bagi masyarakat di ibu kota.

Tarikan terbaharu, Tangga Putrajaya juga sudah dibuka sejak Oktober lalu untuk orang ramai beriadah sambil menjalani gaya hidup sihat.

Diilhamkan Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa yang ketika itu dilantik sebagai Menteri Wilayah Persekutuan, pembinaan Tangga Putrajaya adalah bersempena dengan 25 tahun Sambutan Jubli Perak Putrajaya.

Ia dibina di atas cerun menuju Mercu Tanda di Taman Putra Perdana.

Pembinaan Tangga Putrajaya mewujudkan kesinambungan laluan pejalan kaki dari Dataran Putra melalui Laman Perdana naik ke Mercu Tanda di Taman Putra Perdana.

 

TANGGA Putrajaya tarikan baharu di pusat pentadbiran negara, Putrajaya.
TANGGA Putrajaya tarikan baharu di pusat pentadbiran negara, Putrajaya.

 

Ia dapat dilihat sebagai satu paksi lurus (axis) yang menghubungkan kawasan tumpuan pelawat iaitu di Dataran Putra.

Ketinggian Tangga Putrajaya dianggarkan 30 meter (m) dan jarak pendakian dari bawah ke mercu tanda adalah sejauh 200m.

 

MENJADI tumpuan pengunjung untuk bersantai dan beriadah.
MENJADI tumpuan pengunjung untuk bersantai dan beriadah.

 

Bagi tujuan keselamatan, laluan seumpama paksi lurus itu dibina tidak curam dengan mempunyai 248 anak tangga selebar tiga meter.

Menariknya ia turut dilengkapi empat plaza dan 14 tapak hentian rehat selain 46 tiang lampu taman.

Sebanyak lapan jenis pokok renek berwarna-warni turut dijadikan hiasan di kawasan tengah tangga itu selaras dengan konsep taman untuk memberi panorama hijau yang hidup segar.

Selain direka khusus untuk pendakian dan penurunan, ia juga dibina dengan struktur, fasiliti serta peralatan yang membolehkan pengunjung melakukan aktiviti bersukan, beriadah mahupun rekreasi secara santai di sepanjang binaan tangga sambil menikmati panorama indah Putrajaya.

Lebih menarik, binaan tangga itu dikatakan diinspirasikan dari beberapa tangga ikonik dunia seperti Spanish Steps di Itali, Potemkins Stairs di Ukraine dan Batu Caves, Selangor.

Dalam pada itu, bagi mengindahkan lagi kawasan sekitar Tangga Putrajaya, Perbadanan Putrajaya (PPj) turut menanam pelbagai pokok termasuk tekoma atau Sakura Malaysia.

Tekoma atau nama saintifiknya Tabebuia rosea bakal menjadi landskap utama kawasan tangga berkeluasan 4, 995 meter persegi itu.

Ia ditanam di kiri dan kanan tangga, sekali gus menyerikan lagi kawasan itu apabila sudah berbunga kelak.

 

MERCU Tanda Taman Putra Perdana yang terletak di puncak Tangga Putrajaya.
MERCU Tanda Taman Putra Perdana yang terletak di puncak Tangga Putrajaya.

 

Lazimnya, ia berbunga merah jambu ketika cuaca panas terik sekitar Mac hingga April setiap tahun.

Untuk makluman, Tangga Putrajaya itu adalah tangga ikonik kedua dibina di Putrajaya selepas Tangga Alamanda.

Lokasinya yang terletak berhampiran Dataran Putra menjadikan ia ideal untuk dikunjungi terutama kaki fotografi bagi merakam panorama indah Putrajaya.

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat