KUALA LUMPUR – Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) sebagai agregator gas tunggal akan mempercepatkan pembangunan Hala Tuju Gas Sarawak (SGR), sekali gus bakal mewujudkan lebih 100,000 peluang pekerjaan berkualiti tinggi.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Seri Julaihi Narawi berkata, ia juga akan menyumbang kepada peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Sarawak sebanyak lapan peratus setahun, yang merupakan elemen utama dalam Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 (PCDS) 2030.
“Di samping itu, peranan PETROS sebagai pengagih tunggul juga untuk menjalankan semua aktiviti yang berkaitan dengan perolehan, pembekalan, pengedaran dan penjualan gas asli di negeri ini.
“Syarikat tersebut turut akan bertanggungjawab mengawasi pembangunan, operasi dan penyelenggaraan sistem rangkaian pengedaran gas asli di bawah inisiatif SGR,” lapor Bernama di Kuching.
Beliau berkata demikian menjawab soalan ADUN Katibas Lidam Assan, ADUN Daro Safiee Ahmad, ADUN Tellian Royston Valentine dan ADUN Jepak Iskandar Turkee mengenai kemajuan terkini pelantikan PETROS sebagai agregator gas tunggal di Sarawak pada persidangan DUN, semalam.
Mengulas lanjut ujarnya, manfaat daripada pelantikan PETROS sebagai agregator gas tunggal turut dapat memacu pertumbuhan ekonomi Sarawak serta menyumbang sumber pendapatan baharu.
“Dengan pelantikan tersebut, ia juga membolehkan PETROS memberi keutamaan untuk membangunkan SGR serta membuka peluang mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti tinggi
“Pada masa yang sama, memperuntukkan gas asli untuk kegunaan domestik dan perkembangan industri hiliran yang menyumbang kepada membangunkan infrastruktur seperti rangkaian pengedaran gas asli termasuk pembangunan Hub Karbon Rendah Kuching,” jelasnya.