PUTRAJAYA — Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) meluluskan lima tuntutan tambahan yang dikemukakan oleh Kerajaan Sabah sebagaimana yang telah diluluskan kepada Kerajaan Sarawak.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata ia melibatkan perancangan projek, perkongsian maklumat mengenai perpindahan pegawai kanan jabatan pendidikan negeri (JPN) ke ibu pejabat KPM dan perkongsian data pendidikan.
“Selain itu, Kerajaan Sabah juga telah mengemukakan satu tuntutan baharu berkaitan fleksibiliti dan autonomi dalam penggunaan peruntukan bencana berdasarkan keperluan sebenar atau kesegeraan.
“KPM bersetuju dengan tuntutan ini dan akan menambah baik prosedur pengendalian standard (SOP) sedia ada untuk perolehan kecemasan bagi menentukan peruntukan serta kaedah perolehan.
“Ini dapat membantu penyelesaian segera ketika bencana dan mengatasi isu-isu berbangkit,” jelasnya.
Perkara itu dipersetujui pada Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Bersama Pembangunan Pendidikan (JTBPP) Negeri Sabah Bilangan 1 Tahun 2024 kelmarin.
Mesyuarat telah dipengerusikan secara bersama oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Menteri Sains, Inovasi dan Teknologi Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Datuk Mohd Arif di Putrajaya.
Selain itu, Fadhlina berkata KPM juga komited menterjemahkan semangat MA63 menerusi usaha berterusan memperkasakan pendidikan di Sabah.
Dalam mesyuarat yang sama turut membincangkan mengenai pengambilan guru baharu dipecahkan mengikut tiga wilayah Semenanjung, Sabah, Sarawak.
“Antara keputusan penting yang telah dipersetujui menerusi perbincangan dalam Mesyuarat JTBPP Negeri Sabah adalah berkaitan pengambilan guru baharu yang dipecahkan mengikut tiga wilayah iaitu Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
“Selain itu, mesyuarat juga bersetuju memasukkan citra Sabah dalam kurikulum dan dasar pendidikan negara,” jelasnya.