Johor Baharu menjadi destinasi pengembaraan muzik: ‘A Night to Remember’ Tatik pelancong serantau

- Advertisement -

Bandaraya Johor Bahru bersiap sedia untuk satu malam ikonik pada 14 Disember 2024 apabila konsert ‘A Night to Remember: Rock Nostalgia’ bakal menghimpunkan ribuan peminat muzik rock di Stadium Tertutup Arena Larkin. Dengan penampilan Ella, Exists, dan Kugiran Masdo, konsert ini dijangka memberi impak besar kepada sektor pelancongan di Johor, menonjolkan bandar raya ini sebagai destinasi muzik dan budaya yang pesat membangun di Asia Tenggara.

Menggabungkan elemen nostalgia dan kecintaan kepada muzik rock, acara ini adalah hasil usaha Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Tourism Johor, dan Coaction Events. Inisiatif ini juga adalah sebahagian daripada perancangan jangka panjang untuk menggalakkan kemasukan pelancong menjelang Tahun Melawat Johor 2026. Dato’ Haji Mohd Noorazam Dato’ Haji Osman, Datuk Bandar Johor Bahru, mengakui bahawa acara seperti ini penting untuk menarik minat pelancong dan peminat muzik dari seluruh rantau. “Johor Bahru mempunyai potensi besar sebagai hab budaya dan hiburan, dan acara bertaraf antarabangsa ini membuktikan kemampuan bandar raya ini untuk bersaing di pentas dunia,” ujarnya.

Bukan hanya sekadar hiburan, konsert ‘A Night to Remember’ membawa kesan ekonomi yang besar kepada Johor Bahru. Dari segi penginapan, makanan, dan perkhidmatan pengangkutan, acara ini dijangka memberi lonjakan kepada sektor pelancongan di bandar raya ini. Sharil Nizam Bin Abdul Rahim, Pengarah Tourism Johor, menyatakan bahawa acara ini bakal meningkatkan pengaliran pelancong, yang seterusnya memacu ekonomi setempat. “Konsert ini dijangka menarik ribuan peminat dari dalam dan luar negara, menyumbang kepada sektor pelancongan dan ekonomi bandar raya ini,” katanya.

 

Dengan tiket dijual dalam lingkungan RM99 hingga RM399, konsert ini turut menyediakan pelbagai kategori tiket yang mampu menarik khalayak yang lebih luas, daripada golongan belia hingga peminat muzik senior yang ingin mengimbau kembali zaman kegemilangan muzik rock Malaysia.

Aksi yang ditunggu-tunggu termasuk persembahan Ella, Ratu Rock Malaysia yang sudah lama menjadi ikon dalam muzik tempatan, serta Exists yang terkenal dengan lagu-lagu malar segar, dan Kugiran Masdo dengan aliran muzik retro yang diminati oleh peminat generasi muda. Ella menganggap konsert ini sebagai satu penghargaan kepada peminat yang telah mengikuti perjalanan muziknya selama ini. “Bersama Exists dan Masdo, kami ingin membawa peminat kembali ke zaman emas muzik rock. Ini peluang untuk kita semua berkumpul dan merasai kembali keajaiban muzik yang pernah memeriahkan Malaysia,” katanya.

David Bareng, Ketua Eksekutif Coaction Events, menganggap konsert ini sebagai titik pertemuan antara generasi lama dan baru dalam muzik. “Kita mahu setiap peminat, sama ada yang sudah lama atau baru mengenali Ella, Exists, atau Masdo, datang untuk merasai pengalaman konsert yang luar biasa ini. Johor Bahru akan menyaksikan kebangkitan semula semangat rock, dan kami mengalu-alukan peminat dari Malaysia, Singapura, dan Kepulauan Riau untuk bersama-sama menjadikan malam ini istimewa,” jelasnya.

– Tarikh: 14 Disember 2024
– Tempat: Stadium Tertutup Arena Larkin, Johor Bahru
– Harga Tiket: RM99 hingga RM399
– Pembelian Tiket: www.ticket2u.com.my

Konsert ‘A Night to Remember: Rock Nostalgia’ bukan sekadar hiburan, tetapi satu detik yang akan terus dikenang sebagai penggerak utama dalam menjadikan Johor Bahru sebagai pusat tarikan pelancongan muzik serantau.

author avatar
Fendi Ghafar
Venni Viddi Vinchi
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat