Nasib Hajiji kini bergantung kepada Star dan PBS?

- Advertisement -

KOTA KINABALU – Kedudukan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor kini terancam berikutan semakin banyak pendedahan mengenai skandal rasuah mineral Sabah yang sedang didedahkan oleh portal Malaysiakini.com.

Bermula dari usaha mendapatkan pelindungan saksi untuk pemberi maklumat mengenai dakwaan skandal rasuah oleh beberapa orang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), portal tersebut kini mula menerbitkan klip video-klip video yang mengaitkan dengan pentadbiran Hajiji dan Adun kerajaan negeri Sabah.

Berdasarkan perkembangan terbaharu ini, sumber memberitahu SuaraTV bahawa  Sabah mungkin akan mendapat Ketua Menteri baharu sebelum memasuki tahun 2025.

Menurut sumber tersebut, dua parti sekutu utama dalam pentadbiran Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Parti Solidariti Tanah Airku (Star) dan Parti Bersatu Sabah (PBS), sedang mempertimbangkan pilihan sama ada akan meninggalkan GRS sekarang atau selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dibubarkan.

Walaupun kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ke luar negara tampak menyebelahi Hajiji, namun munculnya klip video terbaharu melibatkan seorang lagi Adun GRS telah menimbulkan keresahan kepada Presiden Star Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan dan Timbalan Presiden PBS, Datuk Dr Joachim Gunsalam.

Kedua-dua Timbalan Ketua Menteri itu kini mula mempertimbangkan beberapa pilihan sementara mengambil sikap tunggu dan lihat sama ada akan muncul lagi klip video yang akan menambah kerosakan kepada imej parti mereka menjelang Pilihan Raya Umum Negeri (PRN) Sabah tahun hadapan.

Antara pilihan yang kurang drastik ialah meminta Hajiji melepaskan jawatan kepada Menteri Kewangan Sabah, Datuk Masidi Manjun bagi membolehkan gabungan ini memulihkan imej mereka.

Bagaimanapun ia tampak pilihan yang agak sukar dilaksanakan kecuali terdapat aturan membolehkan Hajiji dilantik sebagai Yang Di-Pertua Negeri Sabah yang baharu pada bulan hadapan.

Pilihan yang lebih drastik dan memberi makna kedua-dua parti tersebut sekiranya mereka mahu mengelak dari palitan skandal ini ialah menarik diri dari pentadbiran Hajiji.

Sekiranya kedua-dua parti ini menarik diri dari kerajaan sekarang, Hajiji akan hilang majoriti di DUN Sabah sekaligus menimbulkan persoalan mengenai kedudukannya sebagai Ketua Menteri.

Pada masa ini, parti Hajiji Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) mempunyai 26 kerusi. Beliau membentuk majoriti mudah 37 kerusi dengan sokongan Star (6), PBS (7) dan seorang ahli langsung GRS. Selain itu, beliau turut di sokong oleh lima orang Adun BN dan tujuh orang dari Pakatan Harapan (PH).

Jika ini berlaku kedudukan Hajiji akan terumbang ambing kerana ia akan bergantung kepada sokongan PH dan Adun buangan dari BN.

Pemimpin utama Sabah seperti Jeffrey, Datuk Seri Shafie Apdal atau Datuk Seri Panglima Bung Moktar Raden mungkin cuba mendapatkan sokongan untuk menjadi Ketua Menteri yang baharu.

Malah BN Sabah mungkin berupaya membentuk kerajaan baharu bersama Warisan, Star, PBS dan PH sekiranya mereka mencadangkan nama Ketua Menteri yang boleh mendapat sokongan PH Sabah.

Ini tidak mustahi apabila Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, sendiri pernah memberi isyarat pentingnya menukar kerajaan negeri Sabah sekiranya mahu melihat lebih banyak kemajuan ekonomi di negeri tersebut.

Bubar DUN

Dakwaan skandal mineral ini mungkin akan memaksa Hajiji membubarkan DUN Sabah  lebih awal dari tempoh tamat penggal seperti mana yang dilakukan oleh Shafie pada tahun 2020.

Jika mahu membubarkan DUN, Hajiji perlu melakukan secepat mungkin sebelum pendedahan demi pendedahan dilakukan sehingga merosakan imej PGRS melampaui batas yang boleh dibaiki.

Namun cadangan pembubaran DUN oleh Ketua Menteri yang dipercayai hilang majoriti akan bergantung sepenuhnya kepada kuasa budi bicara Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Haji Mahiruddin.

Sekiranya Tun Juhar menolak permohonan pembubaran DUN, Sabah mungkin akan mempunyai Ketua Menteri baharu sebelum penggal ini tamat pada Oktober 2025. -SUARATV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat