KUALA LUMPUR– Polis merampas dua senjata tajam disyaki digunakan seorang pelajar lelaki dalam kes bunuh membabitkan seorang pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, di Petaling Jaya.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian sekitar pukul 9.40 pagi.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian membabitkan suspek, seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun manakala, mangsa pelajar perempuan berusia 16 tahun.
“Kejadian dipercayai berlaku di kawasan tandas perempuan sekolah lebih kurang pukul 9.10 pagi selepas disedari guru bertugas yang terdengar jeritan (pelajar).
“Kita turut merampas dua senjata tajam yang dipercayai digunakan suspek untuk menikam mangsa,” lapor Kosmo! pada Selasa.
Mengulas lanjut, Shamsudin berkata, pemeriksaan awal mendapati mangsa ditemui maut di lokasi kejadian dan terdapat beberapa kesan tikaman pada badan.
Katanya, suspek telah ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Kita akan mendapatkan perintah reman ke atas suspek esok dan siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengenal pasti motif kejadian.
“Mayat mangsa telah dibawa ke Jabatan Forensik Pusat Perubatan Universiti Malaysia,” ujarnya.
Terdahulu, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail memaklumkan suspek kes bunuh seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama telah ditahan hari ini.
Sementara itu mengulas tragedi hitam ini, Pengerusi MARA Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mempersoalkan apakah generasi muda kini sudah mati rasa?
“Amat sedih bercampur resah membaca berita terbaru mengenai pelajar perempuan Tingkatan 4 yang maut ditikam pelajar lelaki Tingkatan 2 di sebuah Sekolah Menengah di Petaling Jaya.
“Apakah generasi muda kini sudah mati rasa? soal Asyraf.



