Kalau kena gaya UMNO boleh bekerjasama dengan Anwar – Tajuddin

- Advertisement -

CYBERJAYA: Sekiranya Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai formula yang boleh membahagiakan banyak pihak, tidak mustahil UMNO sedia memberi kerjasama.

Menurut Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, sokongan itu juga tidak mustahil diperolehi daripada parti-parti lain seandainya mereka berpendapat Ketua Pembangkang itu boleh memberi apa yang dimahukan.

Ahli Parlimen Pasir Salah itu menjelaskan UMNO kini tidak berpuas hati sejak Perikatan Nasional (PN) ditubuhkan di mana mereka tidak memperoleh peluang berkhidmat kepada rakyat seperti yang diharapkan.

Ujarnya, ia sekali gus membantutkan kekuatan UMNO untuk kembali sebagai sebuah parti yang boleh memperjuangkan nasib rakyat terutamanya kaum Melayu.

“Kalau UMNO merasakan (peluang) dia dikurangkan, pihak kerajaan PN kena melihat perkara ini supaya dapat diatasi. Kalau tidak nanti masalah perhubungan ini akan menjadi lebih rumit dan orang lain akan mengambil kesempatan untuk membawa satu cadangan lain

“Umpamanya, sekarang mungkin Anwar ada formula yang boleh membahagiakan pihak yang sanggup bekerjasama dengannya, (kalau sekiranya) pihak lain, UMNO, GPS (Gabungan Parti Sabah) atau Warisan.

“Kalau parti-parti ini merasakan Anwar boleh memberi apa yang dia mahu, mungkin mereka akan tertarik untuk memberikan sokongan kepada Anwar, jangan terkejut kalau itu berlaku,” katanya seperti dilaporkan Astro Awani, hari ini.

Pada Selasa, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, parti itu sedang membuat pertimbangan untuk menarik diri daripada menyokong PN.

Tegasnya, parti itu turut memberi syarat baharu kepada kerajaan PN jika mahu meneruskan kerjasama politik secara perjanjian bertulis untuk dilaksanakan secepat mungkin.

Dalam pada itu jelas Tajuddin, kerjasama PN dilihat tidak boleh berkekalan sekali gus gagal bertahan untuk jangka masa panjang.

Oleh itu ujarnya, Kerajaan PN perlu mengutamakan faktor kesaksamaan selain kekuatan sama rata kepada semua parti gabungan itu sendiri dalam pentadbiran negara.

Katanya, ia sekali gus langkah mengelakkan usaha mana-mana pihak untuk melemahkan parti lain dan membina kekuatan sendiri di dalam PN.

Anwar pada Selasa turut mendakwa mempunyai sokongan lebih daripada 120 Ahli Parlimen untuk menubuhkan kerajaan baharu menggantikan PN.

Dalam sidang media khas, Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, telah menyampaikan bukti berupa surat akuan sumpah dan pengesahan ketua parti berkaitan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Bagaimanapun, menurut kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah tidak menerima senarai Ahli-ahli Parlimen yang menyokong Anwar dalam majlis menghadap pada Selasa.

Al-Sultan Abdullah juga telah menasihati Anwar untuk akur dan menghormati proses-proses perundangan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat