Mansuh Matrikulasi Lebarkan Jurang Bandar-Luar Bandar – Nurulhidayah

Cyberjaya – Ahli Lembaga Pengarah Universiti Putra Malaysia (UPM), Nurulhidayah Ahmad Zahid, menegaskan cadangan untuk memansuhkan program matrikulasi dan hanya mewajibkan STPM sebagai laluan ke universiti awam adalah langkah yang merugikan rakyat.

Menurut beliau, matrikulasi telah lama berperanan sebagai salah satu pintu mobiliti sosial, khususnya untuk pelajar dari keluarga luar bandar dan berpendapatan sederhana.

“Matrikulasi telah menjadi salah satu pintu mobiliti sosial kepada anak-anak Malaysia, khususnya dari keluarga luar bandar dan berpendapatan sederhana. Menghapuskan laluan ini bukan sahaja akan mengecilkan akses pendidikan, bahkan akan menambah jurang antara pelajar bandar dan luar bandar, kaya dan miskin,” katanya menerusi hantaran di Facebook rasmi.

Nurulhidayah turut mengingatkan bahawa pendidikan bukanlah medan percubaan untuk dasar separuh masak.

“Pendidikan bukan medan eksperimen dasar separuh masak. Universiti harus terbuka untuk semua, bukan hanya untuk mereka yang mampu bertahan dengan sistem yang panjang dan mencabar seperti STPM,” ujarnya.

Beliau berpandangan universiti awam seharusnya meraikan kepelbagaian latar belakang pelajar dengan memperbanyakkan laluan kemasukan, bukan mengecilkannya.

“Kita mahu menambah laluan, bukan menghapuskan. Universiti negara ini harus kekal menjadi ruang inklusif yang meraikan kepelbagaian latar belakang pelajar, bukan hanya milik segelintir yang mampu melalui laluan yang lebih sukar dan panjang,” katanya lagi.

Walaupun menyokong usaha memperkasakan STPM, beliau menegaskan ia tidak boleh dijadikan satu-satunya laluan ke universiti.

“Kita menyokong usaha memperkasakan STPM, tetapi ia tidak boleh dijadikan satu-satunya laluan. Sebaliknya, kedua-dua sistem perlu dipertingkatkan agar adil, setara, dan berkualiti, kerana masa depan negara ini tidak boleh dibina dengan menutup pintu peluang anak-anak muda kita,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat