KUALA LUMPUR – Pemuda PAS menafikan pihaknya telah menamakan mana-mana tokoh sebagai calon Perdana Menteri secara rasmi, seperti yang tular selepas Muktamar baru-baru ini.
Naib Ketua Pemuda PAS, Muhammad Hanif Jamaluddin menjelaskan apa yang berlaku hanyalah reaksi spontan Ketua Pemuda PAS ketika diasak berulang kali oleh pihak media di penghujung sesi muktamar.
“Saya berada di tempat kejadian, di sebelah YB Ketua Pemuda. YB sebut sesiapa sahaja boleh dicalonkan, namun perlu fokus kepada kemenangan dalam PRU. Tapi press desak suruh sebutkan nama, berulang-ulang, ketika itu jam sudah hampir 8 malam sedangkan Muktamar sepatutnya berakhir jam 6 petang.
“Demi meraikan press, YB KP sebutlah ikut hierarki parti. Tapi tidaklah nama tersebut adalah muktamad calon daripada Pemuda PAS,” katanya dalam satu kenyataan balas di media sosial.
Menurut beliau, prinsip Pemuda PAS kekal jelas iaitu PAS perlu bersedia memimpin Perikatan Nasional (PN) dan menerajui tampuk kepimpinan negara demi rakyat Malaysia.
Terdahulu, pensyarah terkenal Dr Rozaimi Ramli menimbulkan persoalan berhubung laporan bahawa Pemuda PAS mencalonkan Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (TITM) sebagai calon Perdana Menteri.
“Mencalonkan pemimpin parti sendiri adalah perkara biasa dalam politik kepartian. Cuma apabila pencalonan ini berlaku dari Pemuda PAS, saya tertanya apa sudah jadi dengan pendirian TGHH pada tahun 2017? Adakah sudah dimansuhkan atau tidak lagi relevan?” tulisnya.
Beliau turut berkongsi keratan akhbar Berita Harian bertarikh 22 Disember 2017 yang memuatkan kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, bertajuk “Namakan calon PM awal bercanggah adab Islam”.
Sehubungan itu, Pemuda PAS menegaskan kembali bahawa fokus utama mereka ialah persiapan menuju Pilihan Raya Umum akan datang, bukan soal menamakan calon secara rasmi.
“Isunya bukan soal nama individu, tetapi bagaimana PAS mampu mengemudi PN untuk memimpin Malaysia ke arah yang lebih baik,” tegas Hanif. – Suara.TV



