Oleh Atriza binti Umar
Tahun 2025 menjadi detik bersejarah kerana Parti Amanah Negara (AMANAH)
mencapai usia sedekad dalam pentas politik Malaysia. Sambutan ulang tahun ini
akan diadakan pada 4 Oktober, menandakan satu perjalanan yang penuh cabaran,
jatuh bangun, serta pengorbanan yang tidak kecil.
Namun, menjelang sambutan ulang tahun ini tidak terlepas daripada kritikan keras,
khususnya daripada tulisan Dr. Riduan Mohamad Nor, Ahli Jawatankuasa Kerja PAS
Pusat, yang menuduh AMANAH sebagai serpihan PAS yang lahir daripada dendam,
pengkhianat baiah, parti kecil yang hanya menjadi ‘parti belaan DAP’ dan gagal
memberi sumbangan kepada Agama dan Bangsa.
Tulisan seperti ini kita sambut dengan jiwa besar. Kerana, Islam mengajar bahawa
teguran itu ada nilainya, walaupun cara penyampaiannya mungkin keras atau
bernada sarkastik lagi sinis. Nabi Muhammad SAW bersabda: “Agama itu nasihat.”
(Riwayat Muslim, no. 55).
Namun, seharusnya kita ingat bahawa nasihat dalam Islam tidak boleh disampaikan
dengan nada menghina, kerana Allah SWT berfirman:
“Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan nasihat yang baik, dan bantahlah
mereka dengan cara yang paling baik.” (Surah al-Nahl, 16:125).
Maka, saya terpanggil untuk memberikan respon bersama hujjah dan fakta, kerana
sedari awal penubuhannya bersama dengan parti ini. Penulisan ini bukan untuk
menghentam, tetapi untuk meluruskan fakta, menenangkan suasana, dan mengajak
kepada diskusi yang lebih sihat lagi harmoni, tidak bermaksud membalas dengan
api, tetapi dengan air yang menyejukkan. Kita belajar menjaga hati dan diri, kerana
dalam politik Islam, akhlak dan adab adalah asas tetapi sangat dituntut.
Penubuhan AMANAH: Ijtihad, Bukan Pengkhianatan
Dr. Riduan dalam penulisannya menuduh penubuhan AMANAH berpunca daripada
kerancuan fikrah dan kekecewaan dalam PAS. Tetapi ketahuilah hakikatnya,
AMANAH ditubuhkan pada 16 September 2015 melalui Gerakan Harapan Baru
(GHB), adalah hasil daripada perbezaan ijtihad dalam memahami konteks politik
Malaysia yang majmuk.
Firman Allah SWT:
“Dan tidaklah Kami mengutus engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi
rahmat bagi seluruh alam.” (Surah al-Anbiya’, 21:107).
AMANAH lahir dengan semangat untuk menterjemahkan Islam Rahmah dalam politik
Malaysia, agar Islam dilihat sebagai rahmat untuk semua rakyat tanpa mengira
bangsa atau agama.
Dalam sejarah Islam, perbezaan jalan politik tidak pernah dianggap sebagai
pengkhianatan akidah. Peristiwa Tahkim antara Sayyidina Ali RA dan Muawiyah RA
membuktikan bahawa sahabat Nabi SAW pun berbeza pendekatan, tetapi kedua-
duanya tetap berada dalam lingkungan Islam (al-Tabari, Tarikh al-Umam wa al-
Muluk, jilid 5).
Maka, adalah sangat tidak adil melabel AMANAH sebagai pengkhianat semata-mata
kerana ia memilih jalur politik yang lain.
Antara Sumpah dan Prinsip Keadilan
Satu lagi tuduhan yang sering diulang-ulang ialah bahawa mereka yang
meninggalkan PAS telah mengkhianati baiah. Tahukah anda, bahawa baiah dalam
konteks parti adalah sumpah politik yang bersifat ijtihadi, bukan hukum qat‘ie. Nabi
Muhammad SAW bersabda: “Tiada ketaatan kepada makhluk dalam perkara maksiat
kepada Allah.” (Riwayat Ahmad, no. 1098).
Tentunya, jika sumpah politik itu digunakan untuk mengekang kebebasan, ia tidak
lagi menepati konteks Maqasid Syariah. Tambahan pula, mandat rakyat dalam
demokrasi berparlimen bukan milik mutlak parti, tetapi milik wakil rakyat yang dipilih.
Sejarah Malaysia menunjukkan bahawa PAS sendiri lahir daripada perpecahan
UMNO pada 1951, dan ia tidak dianggap pengkhianatan agama, sebaliknya
perbezaan ijtihad (Mohamad Abu Bakar, Islamic Political Parties in Malaysia, Asian
Survey, 1981). Kenapa dalam situasi AMANAH, PAS berubah pula? Sewajarnya,
konsistensi dalam berhujah amat penting.
Realiti Politik Majmuk
Dr. Riduan menuduh AMANAH sebagai parti belaan DAP. Naratif ini jelas bertujuan
menanam rasa benci, sedangkan PAS sendiri pernah bekerjasama dengan DAP
dalam Pakatan Rakyat antara 2008–2015.
Pada waktu itu, istilah “TAHALUF SIYASI” dijulang dan dianggap sebagai strategi
dakwah (Mohd Azizuddin Mohd Sani, Religion and Politics in Malaysia, 2012).
Realiti Malaysia ialah negara majmuk yang memerlukan politik muafakat. Rasulullah
SAW sendiri menandatangani Piagam Madinah bersama Yahudi, Kristian dan
kabilah lain demi kestabilan negara (Ibn Hisham, Sirah Nabawiyyah, jilid 2).
Maka, hakikat yang perlu diteri adalah kerjasama AMANAH dengan DAP bukanlah
tanda tunduk, tetapi strategi untuk membina negara bersama-sama ke arah yang
lebih baik.
Ujian, Bukan Kegagalan
Memang benar AMANAH hanya menang 11 kerusi Parlimen dalam PRU14 dan 8
kerusi dalam PRU15. Namun, itu bukan tanda kegagalan mutlak. PAS sendiri pernah
kalah teruk dalam PRU 1986 apabila hanya memenangi satu kerusi Parlimen, tetapi
mereka bangkit semula pada PRU berikutnya (Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia,
Keputusan PRU 1986).
Kekalahan adalah sebahagian daripada tarbiah politik. Imam Hasan al-Banna
menulis:
“Kemenangan hakiki bukanlah pada bilangan kerusi atau banyaknya pengikut, tetapi
pada tegaknya kebenaran dalam hati manusia.” (Majmu‘at al-Rasail, 1947).
Hakikatnya, AMANAH berusaha membawa nilai Islam Rahmah, menolak
ekstremisme, dan mendidik masyarakat dengan politik matang. Itu adalah
sumbangan besar yang tidak boleh diukur semata-mata dengan angka.
Isu Asatizah dan Tauliah
Tuduhan bahawa AMANAH memburu asatizah PAS yang tidak bertauliah tidak
berasas. Sistem tauliah adalah bidang kuasa Majlis Agama Islam Negeri, bukan parti
politik. AMANAH tidak mempunyai kuasa untuk menghalang sesiapa. Namun, tauliah
penting agar kuliah agama tidak menjadi medan fitnah atau penyebaran fahaman
ghuluw.
Imam al-Ghazali mengingatkan:
“Ilmu jika disampaikan oleh orang yang bukan ahlinya, maka ia merosakkan agama
dan dunia.” (Ihya’ Ulum al-Din, jilid 1).
Maka, mekanisme tauliah adalah untuk menjaga kualiti dakwah, bukan alat politik
atau sebagai paltform memecah belahkan masyarakat kerana perbezaan politik yang
dipegangi.
Mengurus Perbezaan: Jalan Hikmah
Tulisan Dr. Riduan banyak mengandungi sindiran terhadap pemimpin AMANAH,
termasuk menuduh mereka takbur, rubber stamp, dan anti-ulama. Retorik sebegini
hanya membakar luka, bukan merawat apalagi menyembuhkan.
Firman Allah SWT:
“Dan janganlah kamu berbantah-bantahan, maka kamu akan gagal dan hilang
kekuatanmu.” (Surah al-Anfal, 8:46).
AMANAH memilih jalan hikmah. Politik adalah wasilah, bukan matlamat. Imam al-
Shafi‘e pernah berkata:
“Pandangan saya benar, tetapi berkemungkinan salah; pandangan orang lain salah,
tetapi berkemungkinan benar.” (al-Shirazi, Tabaqat al-Fuqaha’). Adab inilah yang
perlu dihidupkan kembali dalam wacana politik Islam bukan kerana ketidak puasan
hati, maka berkata atau tulis sesukanya.
Seruan Kepada Forum dan Diskusi
Daripada berbalas sindiran di media, lebih baik kita duduk dalam forum terbuka.
Tajuk seperti ‘Islam Rahmah dan Politik Malaysia: PAS, AMANAH dan Masa Depan
Umat’ boleh menghimpunkan wakil parti, akademik dan NGO.
Rasulullah SAW sendiri menerima pandangan Hubab bin al-Mundhir dalam strategi
perang Badar walaupun berbeza daripada pendapat asal baginda (Sahih Bukhari,
Kitab al-Maghazi). Maka, forum adalah jalan Nabi, manakala sindiran adalah jalan
hawa nafsu.
Politik Madani Menuju Baldatun Thayyibatun wa Rabbun Ghafur
AMANAH percaya bahawa politik Islam mesti berpaksikan Rahmah. Firman Allah
SWT: “Dan janganlah kebencianmu terhadap sesuatu kaum mendorong kamu berlaku tidak
adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada takwa.” (Surah al-Maidah,
5:8).
Ibn Taimiyyah menulis:“Sesungguhnya Allah menegakkan negara yang adil walaupun kafir, dan tidak menegakkan negara yang zalim walaupun Muslim.” (Majmu‘ al-Fatawa, jilid 28, hlm. 146).
Prinsip ini mengajar bahawa keadilan adalah asas negara. Inilah roh Negara Madani
yang ingin dibina iaitu negara yang adil, sejahtera, dan menuju visi Qurani Baldatun
Thayyibatun wa Rabbun Ghafur (Surah Saba’, 34:15).
Tulisan Dr. Riduan sarat dengan sindiran dan caci yang mungkin mengundang sorak
tawa sesetengah penyokong, tetapi dalam kaca mata Islam, ia meletakkan kita pada
satu ujian besar, adakah politik ini menjadi medan tarbiah atau medan dendam? Apa
yang pasti ia tentunya tidak membawa faedah.
AMANAH bukan parti belaan sesiapa, tetapi lahir daripada ijtihad. Kerjasama dengan
DAP bukan pengkhianatan, tetapi strategi realiti politik Malaysia. Kekalahan pilihan
raya bukan kegagalan mutlak, tetapi ia adalah proses tarbiah.
Marilah kita sama-sama belajar menjaga hati dan diri, kerana politik Islam hanya
akan dihormati apabila ia dibina di atas rahmah. Nabi SAW bersabda: “Mukmin yang
paling sempurna imannya ialah yang paling baik akhlaknya.” (Riwayat Tirmizi, no.
1162).
Inilah akhlak yang ingin AMANAH bawa. Politik Madani ialah politik Adil, Rahmah,
dan matang. Mari kita duduk semeja dalam forum, bukan saling menghentam.
Kerana dengan itu, Malaysia boleh bergerak ke arah negara yang benar-benar
menjadi Baldatun Thoyyibatun wa Rabbun Ghafur, insya-Allah.
*Penulis adalah Pengarah Hal Ehwal Syariah dan Dakwah Parti Amanah Negara, Negeri Sembilan.



