Kenapa Anwar dapat pengampunan diraja DAP tak persoalkan tapi bila Najib dianggap tak munasabah? – MCA

KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan MCA Neow Choo Seong mempersoalkan suara lantang pimpinan DAP yang mempersoalkan keabsahan titah addendum terhadap Datuk Seri Najib Razak.

Pengarah Komunikasi Pemuda BN mempersoalkan mengapa ketika Datuk Seri Anwar diberi kuasa pengampunan diraja dianggap wajar dan tidak dipersoalkan, tetapi hari ini apabila melibatkan Najib, ia tiba-tiba dianggap tidak sah?

“Sejak awal proses undang-undang membabitkan Najib, MCA sentiasa menghormati keputusan mahkamah dan tidak pernah mencampuri urusan kehakiman. Kami tidak pernah mendesak, mempertikai, atau memperlekeh sistem keadilan negara, apatah lagi menghasut rakyat untuk berdemonstrasi di jalanan.

“Apabila titah addendum dikeluarkan, MCA tetap konsisten menjunjung prinsip yang sama. Kuasa prerogatif ini adalah hak Seri Paduka Baginda seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan, dan mesti dihormati semua pihak.

“MCA juga ingin bertanya: Adakah Lim Lip Eng atau mana-mana pemimpin DAP pernah bersuara lantang seperti ini ketika pengampunan penuh diberikan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas PRU-14, yang membolehkannya kembali aktif dalam politik dan akhirnya menjadi Perdana Menteri?

“Mengapa ketika itu kuasa pengampunan diraja dianggap wajar dan tidak dipersoalkan, tetapi hari ini apabila melibatkan Datuk Seri Najib, ia tiba-tiba dianggap tidak sah?

“Sikap ‘double standard’ seperti ini amat berbahaya dan tidak wajar dibiarkan. Ia mencemarkan imej Kerajaan Perpaduan dan boleh menjejaskan keharmonian sistem pemerintahan negara yang berpaksikan Perlembagaan dan Raja Berperlembagaan,” kata Choo Seong dalam kenyataan pada Isnin.

Kata beliau, MCA ingin menegaskan bahawa kuasa pengampunan diraja adalah sebahagian daripada keluhuran Perlembagaan serta lambang kedaulatan Raja-Raja Melayu.

Ujarnya, ia tidak boleh dipersoalkan sewenang-wenangnya hanya kerana perbezaan pandangan politik. Ini adalah asas Perlembagaan yang perlu dihormati dan dijunjung oleh semua pihak tanpa mengira parti.

Terdahulu, Lim Lip Eng menyifatkan cadangan agar bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman penjara secara tahanan rumah sebagai tidak munasabah dan wajar ditolak secara tegas.

Beliau dilaporkan berkata, permintaan sedemikian mencabar prinsip keadilan dan menimbulkan persepsi wujudnya layanan istimewa terhadap tokoh politik yang berpengaruh.

Menurut Choo Seong, tindakan Ahli Parlimen DAP, Lim Lip Eng, yang secara terbuka mempersoalkan titah addendum membolehkan Najib menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah adalah satu tindakan yang boleh dianggap sebagai tidak menjunjung titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

“Lebih membimbangkan, tindakan Lip Eng juga jelas bertentangan dengan semangat Perlembagaan Persekutuan. Sebagai Ahli Parlimen, beliau sepatutnya lebih memahami kedudukan kuasa prerogatif Seri Paduka Baginda yang diperuntukkan di bawah Perkara 42(1) Perlembagaan. Beliau tidak wajar mengelirukan rakyat dengan kenyataan bersifat retorik yang didorong oleh kepentingan politik semata-mata.

“Perlu ditegaskan bahawa Perkara 42(1) memberikan kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memberi pengampunan, menangguhkan atau meringankan hukuman bagi kesalahan yang dibicarakan oleh mahkamah tentera atau yang berlaku dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya. Kuasa serupa turut terletak pada Raja atau Yang Dipertua Negeri bagi kesalahan dalam negeri masing-masing.

“Isunya bukan kerana kes ini melibatkan Datuk Seri Najib semata-mata, tetapi kerana ini menyentuh soal prinsip keluhuran Perlembagaan serta kedaulatan undang-undang yang wajib dipertahankan oleh semua pihak tanpa mengira fahaman politik.

“Jika DAP tidak bersetuju dengan peruntukan sedia ada dan ingin mencorakkan negara mengikut acuan ideologi mereka seperti termaktub dalam Deklarasi Setapak, adakah DAP yang mempunyai 40 Ahli Parlimen kini akan membawa usul pindaan Perlembagaan di Dewan Rakyat? soalnya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat