Histeria lantikan hakim berpunca daripada andaian, Apandi anggap melucukan

KUALA LUMPUR – Bekas Peguam Negara (AG) Tan Sri Mohamed Apandi Ali mempersoalkan tindakan segelintir Ahli Parlimen, Majlis Peguam dan aktivis masyarakat sivil yang didakwanya sengaja mencetuskan ‘kekecohan’ berhubung isu pelantikan hakim.

Beliau yang juga bekas Hakim Mahkamah Persekutuan berpandangan tindakan itu dibuat hanya berdasarkan andaian bahawa lantikan hakim akan dibuat Perdana Menteri tanpa semestinya mengikut cadangan nama yang disyorkan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC).

Justeru, Apandi melihat tindakan pihak yang menuntut penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung isu badan kehakiman sebagai melucukan dan jika tidak pun penuh ironi kerana tiada sebarang peruntukan undang-undang yang menetapkan tarikh akhir bagi pelantikan segera jawatan tertinggi kehakiman.

Tegasnya, Seksyen 27 Akta JAC 2009 menyatakan Perdana Menteri berhak sepenuhnya untuk meminta dua lagi nama calon tambahan bagi mana-mana kekosongan kehakiman, termasuk jawatan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan, yang mana undang-undang memberi ruang kepada budi bicara Eksekutif dalam proses pelantikan berkenaan.

“Histeria ini berpunca daripada andaian semata-mata. Ia belum pun berlaku. Bekas Hakim Mahkamah Rayuan, seperti mendiang Datuk Seri Gopal Sri Ram, Datuk Seri Mohd Hishamudin Yunus dan Datuk Mah Weng Kwai sebelum ini pernah menyatakan secara terbuka bahawa Perdana Menteri tidak terikat untuk menerima syor JAC.

“Pada 2018, mereka menjelaskan bahawa Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi mengatasi Akta JAC,” katanya dalam kenyataan, pada Isnin.

Bagaimanapun, Apandi berkata, situasi sama tidak berlaku ketika terdapat pelanggaran nyata, yang didakwa terhadap Akta JAC dan Perlembagaan Persekutuan, yang dibuktikan dan direkodkan dalam Laporan Pasukan Petugas Khas (STF) mengenai dakwaan dalam buku bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas, My Story: Justice in the Wilderness.

Laporan itu, dakwa beliau, membongkar hakikat bahawa pada Julai 2018, pelantikan nama ke jawatan tertinggi kehakiman, iaitu Tan Sri Richard Malanjum sebagai Ketua Hakim Negara, Tan Sri Ahmad Maarop (Presiden Mahkamah Rayuan), Tan Sri Zaharah Ibrahim (Hakim Besar Malaya) dan Datuk David Wong Dak Wah (Hakim Besar Sabah dan Sarawak) bukan nama yang disyorkan JAC dalam mesyuarat mereka pada 24 Mei 2018.

Dakwanya lagi, ia sebaliknya adalah hasil perbincangan secara tertutup antara Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tommy, yang disifatkannya sebagai memintas keseluruhan proses yang diwajibkan undang-undang.

Apandi mendakwa, JAC dalam mesyuaratnya pada 17 Januari 2019 mencadangkan Ahmad Maarop sebagai Ketua Hakim Negara, David Wong sebagai Presiden Mahkamah Rayuan dan Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebagai Hakim Besar Malaya.

“Bagaimanapun Perdana Menteri (ketika itu) meminta dua nama tambahan dan JAC dalam mesyuaratnya pada 5 April 2019 mengemukakan nama Tengku Maimun dan Tan Sri Azahar Mohamed untuk jawatan Ketua Hakim; Azahar dan Tan Sri Rohana Yusuf untuk Presiden Mahkamah Rayuan serta Rohana dan Azahar untuk Hakim Besar Malaya.

“Pada akhirnya, yang dipilih ialah Tengku Maimun sebagai Ketua Hakim Negara, Rohana sebagai Presiden Mahkamah Rayuan dan Azahar sebagai Hakim Besar Malaya. Ironinya, mereka yang hari ini membantah lantikan dalam kalangan yang lebih junior diam membisu, malah menyokong ketika Tengku Maimun yang ketika itu lebih junior dilantik sebagai Ketua Hakim Negara. Di mana suara kecaman mereka pada waktu itu?

“Tun Dr Mahathir, individu yang secara terang-terangan dilaporkan mencabuli proses JAC pada 2018 dan 2019, kini tampil bersama sekutunya sebagai ‘penjaga kebebasan kehakiman’. Terdapat juga segelintir peguam yang kini terang-terangan menyokong calon tertentu untuk jawatan Ketua Hakim Negara, sekali gus menjejaskan seruan mereka sendiri mengenai ketelusan dan pemisahan kuasa,” dakwanya lagi.

Menurutnya, kemarahan terpilih terhadap pelanggaran yang belum berlaku, sambil menutup mata terhadap pelanggaran nyata yang sudah berlaku, mendedahkan kebobrokan dalam budaya politik-perundangan di negara ini.

“Ini bukan soal prinsip undang-undang, tetapi lebih kepada permainan kuasa, kepentingan peribadi dan hipokrasi politik yang diselindungi di sebalik slogan kebebasan kehakiman. Jika benar Majlis Peguam, masyarakat sivil dan pemimpin pembangkang ikhlas mahukan reformasi, mereka wajar bermuhasabah terhadap pelanggaran lalu yang mereka sendiri diamkan.

“Selagi itu tidak berlaku, jeritan mereka kosong makna. Undang-undang mesti dikuatkuasakan secara konsisten, bukan sekadar apabila ia menguntungkan naratif politik tertentu,” katanya

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat