Kerajaan P. Pinang Diminta Beri Rebat Kepada Pengguna Terlibat Gangguan Bekalan Air

- Advertisement -

GEORGE TOWN – Kerajaan Pulau Pinang diminta memberikan rebat kepada semua pihak yang terkesan termasuk sektor perkilangan yang mengalami kerugian akibat gangguan bekalan air di negeri itu minggu lepas.

Cadangan tersebut dikemukakan oleh Parti MCA kerana gangguan bekalan air itu melibatkan 80 peratus atau 528,000 daripada 660,000 pemegang akaun Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dan mengambil masa hingga enam hari untuk pulih sepenuhnya.

Naib Setiausaha Organisasi Pemuda MCA Tan Yang Pang berkata gangguan bekalan air itu menyebabkan banyak pihak terjejas dan mengalami kerugian berikutan perniagaan mereka tidak dapat beroperasi seperti biasa.

“Dalam kejadian bermula pada Rabu lepas itu, banyak pihak terjejas dan terpaksa berdepan dengan keadaan sukar apabila bekalan air terputus secara tiba-tiba tanpa notis pemberitahuan.

“Sebab itu MCA mencadangkan agar mereka yang terkesan diberikan rebat dan kami juga mahu kerajaan negeri menubuhkan satu jawatankuasa antara Pulau Pinang, Kedah dan Perak bagi membincangkan sumber air mentah,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Pada Rabu lepas, operasi Loji Rawatan Air Sungai Dua terpaksa dihentikan selama empat jam kerana kadar kekeruhan air mentah yang tinggi berikutan banjir dan fenomena kepala air di Baling, Kedah.

Tindakan itu menyebabkan 80 peratus atau 528,000 daripada 660,000 pemegang akaun PBAPP di seluruh negeri terputus bekalan air yang hanya pulih sepenuhnya selepas enam hari.

Sementara itu, Tan berkata pihaknya turut menggesa anggota kelab penyokong Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang supaya memaklumkan nama yang perlu dipanggil Jawatankuasa Kira-Kira Kerajaan (PAC) negeri untuk menjalankan siasatan berhubung gangguan air tersebut.

Menurutnya masalah itu tidak sepatutnya diletakkan kepada PBAPP sahaja, sebaliknya Ketua Menteri Chow Kon Yeow selaku Pengerusi PBAPP perlu mengambil tanggungjawab berhubung gangguan air tersebut.

Sebelum ini, anggota kelab penyokong PH dalam kenyataannya menggesa satu siasatan dijalankan berhubung krisis bekalan air yang melibatkan 80 peratus pemegang akaun di seluruh negeri ini. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat