Penerbit masih berdepan isu bayaran rendah, lambat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kegusaran golongan penerbit terhadap kesan penularan pandemik COVID-19 semakin dirasai. Bukan sahaja terpaksa menghadapi situasi penggambaran berkali-kali tergendala berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sekatan pergerakan penuh, malah berdepan isu lapuk iaitu soal bayaran.

Apabila memperkatakan isu bayaran, dilema yang dihadapi golongan penerbit bukan sahaja bayaran rendah diterima dan masih di tahap takuk lama, tetapi masalah lewat mendapat bayaran disebabkan sistem yang diguna pakai sesetengah stesen televisyen (TV).

Berkongsi pengalaman perit itu, penerbit Global Station Sdn Bhd, Datin Zaiton Mohd Jiwa mendedahkan, dia pernah menunggu selama 18 bulan untuk sebuah stesen TV melunaskan bayaran tertangguh.

“Saya terpaksa menunggu selama 18 bulan untuk stesen TV berkenaan melunaskan bayaran tertunggak. Walhal, tidak pernah berlaku kejadian seperti ini.

“Sudahlah kami tidak diberi wang pendahuluan menghasilkan drama seperti yang dilaksanakan beberapa stesen TV lain, proses pembayaran pula mengambil masa lama.

“Situasi ini memberi kesan amat besar kepada produser kerana kami memerlukan modal pusingan untuk menghasilkan drama. Ini bermakna, kami kena pandai-pandai cari duit lain,” katanya kepada BH Online.

Zaiton berkata, kelewatan pembayaran juga secara tidak langsung mengakibatkan bayaran untuk pelakon dan kru produksi terpaksa ditangguhkan.

“Seperti diketahui, gaji kru produksi dibayar mengikut kerja yang dilakukan. Apabila pembayaran lewat, sudah tentu mereka akan menuntutnya.

“Sebagai produser, saya kena bayar walaupun sedikit. Mahu atau tidak, saya terpaksa menunggu stesen TV berkenaan membuat pembayaran penuh bagi melunaskan baki hutang pelakon dan kru produksi yang tertunggak,” ujar penerbit yang pernah menghasilkan drama rantaian popular, Spa Q ini.

Lebih membuatkan Zaiton kecewa apabila ada stesen TV turut mengenakan bayaran deposit kepada setiap produser sebagai jaminan untuk memastikan drama yang dibekalkan mematuhi piawaian ditetapkan.

“Sudahlah terpaksa membiayai kos pembikinan tanpa diberi wang pendahuluan, diminta pula membayar wang deposit sebagai jaminan.

“Mana nak cari duit untuk mengeluarkan kos pembikinan, bayaran pula lewat diterima hingga menimbulkan masalah lain seperti jumlah faedah terkumpul jika modal menghasilkan drama berupa dana ataupun pinjaman bank.

“Bukankah tindakan ini memberi tekanan dan menjadi bebanan kepada penerbit yang sememangnya sudah terkesan berikutan situasi getir ketika ini,” luah Zaiton.

 

Penerbit Global Station Sdn Bhd, Datin Zaiton Mohd Jiwa mendedahkan pernah menunggu selama 18 bulan untuk sebuah stesen TV melunaskan bayaran tertangguh. - Foto IG Zaiton Mat Jiwa
Penerbit Global Station Sdn Bhd, Datin Zaiton Mohd Jiwa mendedahkan pernah menunggu selama 18 bulan untuk sebuah stesen TV melunaskan bayaran tertangguh. – Foto IG Zaiton Mat Jiwa

 

Melahirkan pandangan sama, penerbit Pena Creative Pictures Sdn Bhd, Datuk Ziela Jalil menaruh harapan supaya sistem deposit dapat dihapuskan kerana ia membebankan golongan penerbit sepertinya.

“Sebelum ini, tiada amalan mengenakan bayaran deposit jaminan ke atas produser. Sistem ini diperkenalkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Kenapa perlu ada wang jaminan, sedangkan stesen TV berkenaan sudah membuat penilaian dengan melakukan kawalan kualiti kendiri sebelum produk ditayangkan.

“Justeru, saya merayu kepada stesen TV berkenaan supaya menghapuskan sistem deposit kerana ia sangat membebankan golongan penerbit. Ini kerana wang deposit jaminan menjadikan modal yang dikeluarkan lebih besar,” ujarnya.

Mengulas isu bayaran yang masih di takuk lama, Ziela berkata, soal bayaran masih menjadi masalah utama yang membelenggu golongan penerbit hingga hari ini.

“Perkara ini berkait-kait apabila ia akan menimbulkan persoalan kepada kru produksi kenapa penerbit masih membayar mereka seperti bayaran yang diterima sepuluh tahun lalu tanpa mengetahui hakikat sebenar.

“Situasi ini meletakkan saya dalam keadaan serba salah. Kalau saya menaikkan bayaran, saya akan tanggung kerugian kerana stesen TV tidak pernah naikkan bayaran untuk produser,” ujar Ziela yang mula menerbitkan drama sejak 30 tahun lalu.

Pelakon yang mula dikenali menerusi filem Mr Os ini berkata, soal bayaran menjadi lebih rumit apabila stesen TV yang menentukan pemilihan pelakon.

“Biasa berlaku apabila stesen TV menentukan pemilihan pelakon tanpa memikirkan berapa bayaran yang dikenakan aktor dan aktres yang dipilih.

“Apabila kami menghantar kertas cadangan kepada mereka dengan menyertakan kos yang perlu dikeluarkan untuk mengambil artis pilihan mereka, nyata bajet yang disediakan tidak setimpal.

“Saya pernah menyuarakan kepada stesen TV berkenaan supaya meningkatkan bayaran. Selepas berbuat demikian, barulah mereka mengalah. Boleh dikatakan, tiada jumlah bayaran standard dan bergantung kepada seseorang produser untuk bermain dengan harga,” jelas Ziela.

 

Pengarah dan penerbit Radius One Production, Shahrulezad Mohameddin menasihatkan golongan penerbit harus bijak berdepan dengan sikap segelintir stesen TV yang disifatkan sebagai ‘pembuli’ apabila menawarkan bayaran tidak setimpal dengan produk dihasilkan. - Foto IG Shahrulezad Mohameddin
Pengarah dan penerbit Radius One Production, Shahrulezad Mohameddin menasihatkan golongan penerbit harus bijak berdepan dengan sikap segelintir stesen TV yang disifatkan sebagai ‘pembuli’ apabila menawarkan bayaran tidak setimpal dengan produk dihasilkan. – Foto IG Shahrulezad Mohameddin

 

Sementara itu, pengarah dan penerbit Radius One Production, Shahrulezad Mohameddin berpendapat, tidak semua stesen TV bersikap kedekut dalam soal bayaran.

Cuma, nasihatnya, golongan penerbit harus bijak tatkala berdepan dengan sikap segelintir stesen TV yang disifatkannya sebagai ‘pembuli’ apabila menawarkan bayaran tidak setimpal dengan produk dihasilkan.

“Saya bercakap berdasarkan pengalaman sendiri selepas 20 tahun berkecimpung dalam dunia penerbitan drama. Tidak semua stesen TV mengenakan bayaran rendah. Ada yang sudah menaik taraf dan mengikut peredaran masa.

“Pesan saya, terutama kepada penerbit baharu supaya mengkaji terlebih dahulu setiap permintaan stesen TV yang mahu memilih pelakon.

“Pastikan bayaran ditawarkan berbaloi dengan kos dikeluarkan supaya tidak rugi. Saya sendiri pernah berdepan dengan situasi ini. Kita kena bijak dan jika ada yang tidak puas hati perlu disuarakan,” ujarnya.

Kata pengarah drama rantaian Nur ini, sebagai penerbit, dia akan cuba untuk meminimumkan kos penerbitan jika bayaran diterima tidak memuaskan hati.

“Saya tidak akan mengambil pelakon yang diketahui harga mahal jika bayaran diberikan rendah. Jika stesen TV mahu pelakon yang dipilih, saya akan usaha cara lain iaitu mengurangkan bajet dari aspek lain supaya tidak mengalami rugi.

“Jujurnya, soal bayaran bukanlah perkara utama difikirkan. Ini kerana saya lebih mementingkan isu hak cipta kerana itu yang boleh menyelamatkan kami untuk jangka masa panjang,” kata Ezad.

Penerbit mendakwa tiada harga siling untuk sebuah drama. Banyak faktor menentukan jumlah bayaran diterima. Antaranya pelakon, potensi memberikan rating dan bergantung slot drama disiarkan.

Untuk drama di bawah kategori premium, jumlah bayaran diterima sedikit tinggi berbanding kategori normal. Secara pukul rata, bayaran diberikan stesen TV untuk setiap episod drama antara RM45,000 hingga RM60,000.

Berita Harian
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat