Malaysia teruskan tindakan saman, tuntut ganti rugi terhadap syarikat Norway gagal bekal peluru berpandu

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan meneruskan tindakan saman dan tuntutan ganti rugi terhadap syarikat dari Norway susulan kegagalan membekalkan peluru berpandu anti kapal (NSM) yang ditempah untuk kapal tempur pesisir (LCS) milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Kementerian Pertahanan ketika ini membuat perkiraan termasuk jumlah tuntutan ganti rugi yang wajar dikemukakan susulan pelanggaran kontrak berkenaan.

Menurutnya, tuntutan itu bukan saja membabitkan bayaran yang sudah dibuat, malah kerugian lain yang ditanggung negara akibat kegagalan penghantaran NSM yang ditempah sejak 2018.

“Kita sedang buat perkiraan tentunya bukan saja kita akan tuntut apa yang sudah kita bayar tetapi kesan daripada pelanggaran kontrak ini yang mendatangkan kerugian kepada kita, jadi wajar untuk kita menuntut segala kerugian itu.

“Di peringkat kementerian, kita sekarang ini memang ada jawatankuasa untuk melihat proses untuk mulakan tindakan dan pada masa sama membuat perkiraan berapa sebenarnya yang wajar kita tuntut selain yang kita sudah bayar.

“Kerugian yang kita hadapi walaupun kapal kita boleh siap tetapi kita tidak mempunyai ‘surface-to-surface missile’. Kita juga perlu mencari peluru berpandu lain sebagai pengganti dan itu tentunya mengambil masa termasuk kita perlu melatih semula sekiranya menggunakan sistem berlainan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Peluncuran PROWIRA – Ready To Work Graduan dan Inisiatif Pendidikan YLTAT, lapor Harian Metro pada Khamis.

Mengulas lanjut, Khaled berkata, perolehan itu membabitkan dua kontrak untuk kapal LCS serta Kapal Diraja (KD) Lekir dan KD Jebat dengan keseluruhan nilai lebih RM600 juta dengan kerajaan sudah membayar 95 peratus daripada kos itu.

Katanya, kementerian turut menubuhkan satu lagi jawatankuasa bagi meneliti alternatif lain untuk mendapatkan sistem pengganti dalam kadar segera biarpun beliau mengakui ia tidak mudah kerana ia membabitkan sistem.

“Ia bukan seperti beli kereta semua ada, boleh tunjuk tetapi ini semua perlu tempah, ada spesifikasinya. Sistem itu mesti boleh ‘connect’ dan berhubung dengan sistem lain dalam kapal.

“Jadi ia akan makan masa kerana mahu bangunkan sistem sebagainya tetapi kita sedang cari yang boleh disegerakan. Kita lakukan dengan membuat pilihan yang tepat dan terbaik untuk negara,” katanya.

Katanya, platform bagi sistem peluru berpandu daripada syarikat berkenaan sudah dipasang namun pelurunya belum diterima.

“Tetapi saya percaya ia tidak akan menjejaskan apa-apa pun. Saya akan pergi ke Lumut hari Selasa ini untuk saya tahu dengan lebih lanjut, seboleh-bolehnya penggantian sistem baru itu tidak menjejaskan tarikh jadual penghantaran kapal yang sepatutnya diserahkan pada kita pada Disember,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut bersetuju dengan kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Facebook hari ini yang menzahirkan dukacita berhubung perkara berkenaan.

“Saya setuju, memang tindakan ini sangat-sangat tidak bertamadun bagi negara yang memperjuangkan undang-undang, hubungan baik dan sebagainya,” katanya.

Hari ini media melaporkan, Anwar menyuarakan bantahan keras Malaysia terhadap keputusan unilateral Norway membatalkan lesen eksport bagi sistem NSM serta sistem pelancar berkaitannya.

Menurut beliau, bantahan itu disampaikan secara langsung dalam perbualan telefon bersama Perdana Menteri Norway Jonas Gahr Store susulan tindakan negara itu yang didakwa dibuat atas alasan melindungi keselamatan Norway.

Terdahulu dilaporkan, Malaysia akan menggunakan saluran diplomatik berhubung pembatalan oleh kerajaan Norway membabitkan perolehan NSM daripada syarikat Kongsberg Defence & Aerospace ASA (KDA).

Khaled dipetik berkata, pihaknya mengambil maklum berhubung perubahan polisi kerajaan Norway yang memberi kesan kepada kelulusan eksport pertahanan sekali gus menjejaskan pelaksanaan kontrak terbabit.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat