KUALA LUMPUR – Tidak ada perbincangan yang memuktamadkan apa-apa ketika ini mengenai pengurangan kuota penggunaan di bawah program BUDI95.
Sebaliknya Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir memaklumkan, fokus utama tertumpu kepada pelaksanaan pemberian subsidi diesel dengan menggunakan sistem sama seperti BUDI95.
Jelas Akmal, langkah seterusnya yang sedang diteliti kerajaan ialah memperbaiki kaedah pengurusan subsidi diesel bagi memastikan sistem sedia ada lebih berkesan dan mampan.
Katanya, antara cabaran utama ketika ini ialah jurang besar antara harga pasaran dan harga diesel bersubsidi yang membuka ruang kepada aktiviti penyeludupan serta ketirisan subsidi.
“Apabila berlaku jurang yang ketara antara harga pasaran dengan harga bersubsidi, maka aktiviti seperti penyeludupan dan ketirisan berlaku dengan lebih ketara,” katanya mengulas sama ada perbincangan mengenai pengurangan kuota penggunaan RON95 bawah BUDI95 diadakan di peringkat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) dan Kabinet.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas pelancaran laporan ‘Malaysia Economic Monitor 2026’ bertajuk ‘Raising the Ceiling, Raising the Floor: The Jobs Agenda as a Productivity Agenda’ yang dikeluarkan Bank Dunia, lapor BH pada Khamis.
Akmal Nasrullah berkata, walaupun tindakan penguatkuasaan terus dipertingkatkan, kerajaan melihat keperluan untuk meneliti pendekatan lebih menyeluruh dalam pengurusan subsidi diesel.
Mengenai Dashboard Pemantauan Krisis Bekalan Global, beliau berkata, pengenalan dashboard itu adalah untuk meningkatkan ketelusan maklumat kepada rakyat berkaitan situasi bekalan dan harga semasa.
Menurutnya, platform berkenaan akan membolehkan masyarakat mengikuti perkembangan krisis bekalan global secara lebih terbuka dan interaktif, termasuk membuat perbandingan situasi sepanjang tempoh krisis.
Katanya, dashboard itu juga bertujuan membantu rakyat memahami kesan krisis global terhadap ekonomi domestik, khususnya membabitkan inflasi dan kos sara hidup.
“Berdasarkan unjuran global, kadar inflasi dunia pada 2026 dijangka mencecah 4.4 peratus, namun Malaysia setakat Mac lalu masih berjaya mengekalkan inflasi pada kadar 1.7 peratus.
“Kerajaan menyasarkan kadar inflasi negara kekal dalam julat 1.5 hingga 2.5 peratus tahun ini,” katanya.
Melalui dashboard berkenaan, orang ramai juga dapat memantau trend harga dan bekalan secara lebih langsung, manakala kerajaan mempunyai akses kepada data lebih terperinci bagi membantu proses membuat keputusan dasar ekonomi dan bekalan negara.



