T20 kekal nikmati petrol subsidi BUDI95 – Loke

KUALA LUMPUR – Pelaksanaan skim subsidi minyak BUDI95 dikekalkan kerana ia dilihat memudahkan proses pengagihan subsidi bahan api kepada rakyat di negara ini.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, inisiatif itu sudah dibincangkan sejak sekian lama sebelum dipersetujui majoriti anggota Kabinet.

“Kita sudah mempermudahkan keseluruhan proses. Kabinet membincangkan perkara ini dalam tempoh yang lama dan kebanyakan anggota Kabinet bersetuju bahawa sistem itu perlu mudah.

“BUDI95 ialah sistem yang sangat mudah kerana membolehkan semua rakyat Malaysia menggunakan MyKad untuk menikmati subsidi dalam persekitaran serta kuantiti terkawal supaya tidak berlaku ketirisan. Jadi, kita mengekalkan sistem itu.

“Jadi, tiada persoalan pemotongan subsidi untuk T20 buat masa ini,” katanya pada sidang media sempena Ekspo Kenderaan Komersial Malaysia (MCVE) 2026, lapor Harian Metro pada Khamis.

Ditanya berkenaan keciciran agihan Budi Diesel seperti pemilik trak tunda, Loke berkata, sistem semasa tidak mampu meliputi semua pihak.

“Tiada sistem yang mampu meliputi 100 peratus. Sudah tentu bukan semua perkara boleh dilindungi atau diberikan subsidi sepenuhnya.

“Namun, saya fikir kebanyakan barangan dan industri penting sudah diliputi dalam sistem subsidi semasa, terutama kenderaan komersial yang membawa barangan keperluan dan kontena. Mereka masih menikmati subsidi pada kadar bersubsidi dan saya melihat sistem itu berjalan dengan baik sejak dua bulan lalu.

“Paling penting, kita memastikan bekalan diesel kekal stabil. Di Malaysia, kita tidak berdepan masalah bekalan,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat