KUALA LUMPUR – Malaysia terhutang budi kepada jasa dan budi bicara Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Tun Abdullah digambarkan Anwar memimpin dengan wajah yang tidak marah, tangan yang tidak menggenggam kuasa, dan suara yang tidak meninggi meski diasak bertubi-tubi.
“Saya baru menerima berita yang amat menyentak jiwa iaitu sahabat saya yang juga mantan Perdana Menteri Malaysia yang kelima Tun Abdullah Ahmad Badawi telah kembali menemui Ilahi.
“Masih segar di ingatan tatkala kali terakhir menziarahi beliau yang berada dalam keadaan yang sangat uzur lantas meruntun jiwa yang hiba. Namun saat tangan kami bersentuhan, matanya yang kabur masih memancarkan sinar kasih dan sikap damai yang tidak pernah padam.
“Saya masih ingat sewaktu saya sendiri bergelut dalam episod hidup yang gelap dan derita, beliau tidak pernah menambah luka dengan kata-kata nista. Itulah peribadi Pak Lah yang sentiasa memilih damai meski mudah untuk membalas,” kongsi Anwar.
Menurut Anwar lagi, dalam derapan langkah politik yang sering gawat dan menyesakkan, Pak Lah sentiasa menjadi pihak yang menenangkan.
“Beliau menerima saya dengan penuh adab dan ihsan, meski kami pernah berada di medan politik yang bertentangan. Itulah betapa besarnya jiwa seorang negarawan ulung.
“Pak Lah tidak sekadar pemimpin, malah merupakan seorang insan berjiwa besar yang menerapkan naratif baru dalam politik kekuasaan di Malaysia.
“Dengan pendekatan Islam Hadhari, beliau menjambatani antara aspek kemajuan dan pembanganunan dengan nilai.
“Di bawah kepemimpinannya, kita telah menyaksikan reformasi di bidang kehakiman, ketelusan dalam pentadbiran, dan pemerkasaan institusi,” kongsinya.
Presiden PKR itu menambah lagi, Pak Lah adalah sosok yang memerdekakan suara rakyat melalui pembukaan ruang media dan penyertaan awam.
“Pentadbiran beliau berpaksi pada Rancangan Malaysia Kesembilan yang memacu pertumbuhan ekonomi serta memfokuskan pembangunan insan dan di pedesaan.
“Namun lebih dari segala pencapaian itu, Pak Lah mengajarkan kita erti kemanusiaan dalam kepemimpinan.
“Beliau memimpin dengan wajah yang tidak marah, tangan yang tidak menggenggam kuasa, dan suara yang tidak meninggi meski diasak bertubi-tubi.
“Kepada keluarga Tun Jeanne, anakanda Khairy Jamaluddin dan keluarga besar beliau, saya ucapkan takziah setulusnya dari lubuk hati. Seluruh negara turut bersedih atas kehilangan seorang negarawan yang membumi.
“Selamat jalan, Pak Lah. Malaysia terhutang budi kepada jasa dan budi bicaramu. Semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan para solihin, diampunkan segala dosanya dan dikurniakan ganjaran syurga atas segala kebajikan yang telah ditabur sepanjang hayat beliau,” ucap Anwar.