Hukuman gantung 6 lelaki bunuh Kevin Morais kekal, Najib lega terlepas fitnah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Mahkamah Rayuan Putrajaya pada Khamis mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap enam lelaki atas sabitan kesalahan membunuh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Anthony Kevin Morais, sembilan tahun lalu.

Lelaki terbabit iaitu bekas pakar patologi, Kolonel Dr R Kunaseegaran, 61; pemberi pinjaman wang, S Ravi Chandran, 53; dan empat penganggur, R Dinishwaran, 32; A K Thinesh Kumar, 31; M Vishwanath, 34; serta S Nimalan, 31.

Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Hadhariah Syed Ismail yang bersidang bersama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk Azmi Ariffin, sebulat suara memutuskan keputusan itu.

Hadhariah berkata, Mahkamah Tinggi sebelum ini tidak terkhilaf daripada segi undang-undang dan fakta selepas meneliti alasan penghakimannya serta keterangan dikemuka di mahkamah berkenaan.

“Kami mendapati sabitan dan hukuman dikenakan (terhadap lelaki terbabit) oleh Mahkamah Tinggi adalah betul.

“Mengambil kira kejadian pembunuhan adalah sesuatu yang dirancang dengan rapi, keadaan mayat semasa dijumpai menunjukkan kekejaman semua tertuduh.

“Tidak cukup dengan bunuh mangsa, kereta dibakar dan barang peribadinya dibuang. Kejadian bunuh ini boleh dikategorikan sebagai luar biasa daripada yang biasa.

“Oleh itu, hukuman sepadan dengan kesalahan dilakukan semua tertuduh adalah gantung sampai mati, jadi rayuan mereka terhadap sabitan dan hukuman ditolak serta sabitan dan hukuman dijatuhkan Mahkamah Tinggi dikekalkan,” lapor BH.

Pada 10 Julai 2020, semua lelaki berkenaan dihukum mati oleh Mahkamah Tinggi selepas didapati bersalah membunuh Kevin Morais.

Mereka didakwa membunuh Kevin Morais, 55, di sebuah lokasi di sepanjang Jalan Dutamas Raya Sentul dan Jalan USJ 1/6D, Subang Jaya antara jam 7 pagi hingga 8 malam, 4 September 2015.

Pendakwaan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) dibaca bersama Seksyen 34 KK yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan.

Mendiang dilaporkan hilang pada tarikh terbabit dan kali terakhir dilihat meninggalkan kondominium dengan menaiki kereta Proton Perdana dari Menara Duta, Kuala Lumpur, ke pejabatnya di Jabatan Peguam Negara di Putrajaya.

Mayatnya ditemui dalam tong dram yang diisi konkrit di Persiaran Subang Mewah, Subang Jaya, pada 16 September tahun sama.

Hadhariah berkata, pembelaan semua tertuduh antara lainnya adalah tidak mengenali Kevin Morais, tiada motif dan orang yang baik.

“Pembelaan semua tertuduh ditolak hakim bicara (Mahkamah Tinggi) kerana dikatakan pembelaan direka kemudian dan tidak menimbulkan keraguan kepada kes pendakwaan.

“Oleh itu, sabitan dikenakan. Di peringkat rayuan, antara isu dibangkit tertuduh ialah mereka tiada niat bersama membunuh mangsa dan saksi pendakwaan ke-54 (G Gunasekaran) bukan saksi boleh dipercayai serta memberi keterangan palsu, selain pembelaan tertuduh tidak dipertimbangkan.

“Setelah meneliti kandungan rekod rayuan, kami mendapati semua isu ini tidak bermerit untuk dipertimbang dan saksi itu bercakap benar serta pembelaan dibangkitkan adalah sesuatu difikirkan kemudian,” katanya.

Pada 28 September 2015, tujuh tertuduh termasuk Gunasekaran dihadapkan ke Mahkamah Majistret kerana membunuh dan bersubahat membunuh Kevis Morais.

Bagaimanapun, lelaki itu dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan membunuh mendiang selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen atas tuduhan menyembunyikan mayat dan melupuskan kereta Kevin Morais.

Gunasekaran dijatuhi hukuman penjara dua tahun selepas menukar pengakuan kepada bersalah ketika perbicaraan kes bunuh itu masuk hari ke-36, pada 20 Disember 2016.

Lelaki itu kemudian dipanggil memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan ke-54 pada perbicaraan hari ke-39 kes pembunuhan itu.

Sementara itu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam hantaran di Facebooknya lega terlepas daripada tuduhan fitnah berkenaan.

“Pagi ini, mahkamah rayuan telah kekalkan hukuman enam orang pembunuh Kevin Morais. Barisan hakim puas hati bahawa pembunuh ada motif untuk membunuh Kevin.

“Najib langsung tidak berkait tetapi pernah difitnah bertahun-tahun berkenaan pembunuhan Kevin Morais.

“Sampai hari ini pun, ada yang masih percaya sebab permainan propaganda pihak sebelah sana itu.

“Selepas 6 tahun Tan Sri Lim Kit Siang dicabar Najib, kami masih tunggu bukti pendrive Kit Siang yang kononnya ada bukti bahawa Najib merupakan pembunuh Kevin,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat