Sindiket kartel perolehan RM9 juta, pegawai TLDM, pemilik syarikat direman

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Seorang pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan seorang pemilik syarikat direman lima hari bagi membantu siasatan berkait sindiket kartel perolehan, membabitkan kerja pembinaan di sebuah kem TLDM di Johor, dengan nilai RM9 juta.

Perintah reman bermula hari ini terhadap kedua-dua suspek, masing-masing berusia 42 dan 55 tahun, dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah, Nurkhalida Farhana Abu Bakar.

Difahamkan, dalam kes terbabit, pembayaran penuh dikatakan sudah dibuat, sedangkan pembinaan masih belum disiapkan dengan sempurna.

Terdahulu, kedua-dua suspek dengan tangan bergari dan dikawal pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tiba di kompleks mahkamah kira-kira jam 9 pagi dengan memakai baju T lokap SPRM, lapor BH di Johor Bahru.

Difahamkan, mereka ditahan di Pejabat SPRM Johor pada jam 4 petang semalam bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias mengesahkan penahanan kedua-dua suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Terdahulu pada 19 Januari lalu, tiga individu lain berusia antara 28 hingga 47 tahun turut ditahan reman bagi membantu siasatan kes sama.

Mereka disyaki terbabit dalam kesalahan tuntutan palsu, selain turut menjadi dalang kartel perolehan kepada 13 syarikat pembekal yang menguruskan kerja pembinaan di sebuah Kem TLDM di negeri ini.

TLDM mengesahkan beberapa anggotanya dipanggil SPRM susulan siasatan kes itu, dengan Panglima Tentera Laut, Tan Sri Abdul Rahman Ayob dilaporkan berkata, beberapa dokumen turut diambil untuk tujuan siasatan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat