‘Terima kasih setia walaupun saya bengkok’

- Advertisement -

KETIKA menjayakan Konsert Kurnia di StarXpo Centre, Kenanga Mall (KWC) enam tahun lalu, bentuk fizikal Zamani masih bertahan dan agak sempurna.

Bagaimanapun, keadaannya agak berbeza pada Konsert Mentari Muncul Lagi yang berlangsung di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, kelmarin.

Penyanyi kumpulan Slam ini tampil dalam keadaan fizikal tubuhnya yang ‘senget’ akibat penyakit skoliosis mengakibatkan tulang belakangnya melengkung.

Ia mengundang perasaan simpati penonton yang risaukan keadaannya, namun Zamani meredakan kerisauan itu dengan gurauan yang menyentuh perasaan mereka.

“Terima kasih kerana setia bersama saya, dalam keadaan saya ‘straight’ ke atau bengkok,” katanya kepada 1500 penonton yang hadir.

Dialog spontan yang terkeluar dari mulutnya itu membuatkan peminat yang hadir ketawa.

 

SLAM dalam Konsert Mentari  Muncul Lagi yang berlangsung di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, kelmarin.
SLAM dalam Konsert Mentari Muncul Lagi yang berlangsung di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, kelmarin.

Namun apa yang tersirat disebaliknya, penyanyi berusia 51 tahun ini berusaha memberikan yang terbaik di sebalik keadaan kesihatannya yang bukan sempurna seperti 30 tahun lalu.

Terdahulu Slam yang dianggotai oleh Zamani (penyanyi), Shah (gitar), Lili (bass), Eddie (keyboard) dan Man (drum) membuka persembahan mereka tepat jam 9 malam, menerusi lagu Biarkannya.

Penonton tidak berganjak kerana terpukau dengan kelunakan suara Zamani serta permainan hebat anggota pemuzik Slam yang lain.

Pemilihan lokasi konsert anjuran Shiraz Projects ini dirasakan amat kena dengan kredbiliti kumpulan Slam sendiri yang popular sehingga ke negara jiran, Indonesia.

Susunan muzik yang padu serta kawalan persembahan yang baik, ditambah vokal mantap Zamani membuatkan peminat menonton dalam keadaan yang santai, namun terhibur dengan apa yang disajikan.

Konsert Mentari Muncul Lagi dibahagikan kepada dua segmen yang menampilkan keseluruhan sebanyak 16 lagu.

 

SUSUNAN muzik yang padu serta kawalan persembahan yang baik daripada Zamani dan Slam.
SUSUNAN muzik yang padu serta kawalan persembahan yang baik daripada Zamani dan Slam.

 

Segmen pertama menampilkan lagu Biarkannya, Buat Seorang Kekasih, Manisnya Rindu, Rindiani, Tak Mungkin Berpaling, Nur Kasih dan Maria Mariana.

Zamani jujurnya mengakui agak sukar menyanyikan lagu bernada tinggi yang cukup mencabar, ditambah lagi dengan keadaan kesihatannya sekarang.

Bagaimanapun, ia langsung tidak menjadi ‘kudis’ kerana peminat amat memahami keadaannya. Malah, mereka turut serta ‘sing along’ bersama Zamani sepanjang konsert berlangsung.

Segmen kedua pula menyaksikan dia menyanyikan lagu Kembali Merindu, Suratan, Biarkan Ia Pergi, Kembali Terjalin, Kurnia, Sinar Menunggu, Jika Kau Rasa Getar, Gerimis Mengundang dan Mentari Muncul Lagi sebagai lagu penutup.

Tidak banyak dialog dilontarkan oleh Zamani kerana mereka mungkin mahukan persembahan lancar dan menepati tempoh ditetapkan bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) konsert itu.

 

KEADAAN fizikal Zamani yang tidak seperti dahulu mengundang simpati peminat.
KEADAAN fizikal Zamani yang tidak seperti dahulu mengundang simpati peminat.

 

Dia juga tidak ketinggalan merakamkan penghargaan buat komposer Saari Amri yang banyak menaikkan nama Slam serta bekas pengurus mereka, Johan Aziz yang turut diundang sebagai tetamu istimewa pada malam itu.

Menutup tirai persembahan, Zamani mengharapkan semua peminat pulang dengan kenangan manis.

Konsert Mentari Muncul Lagi turut dihadiri Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin Abdul Rahman yang turun mencemar duli menonton konsert berkenaan.

Turut hadir juga ialah Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu serta rakan artis seperti Ella, Neves Pretty Ugly, Shuib, Ajai, Along dan Musa Exists, Radin Era dan Wany Hasrita.

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat