Majalah 3 kongsi proses kembara 204 artifak dunia

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ilmu dikongsi, pameran menjadi misi. Sebanyak 204 artifak dari Muzium Kesenian Islam Malaysia (MKIM) menjadi tumpuan dalam pameran 14 Dynasties and a Region: The History and Culture of the Muslim World di Tokyo National Museum, Jepun yang berlangsung dari 6 Julai 2021 hingga 20 Februari ini.

Eksklusif buat penonton TV3, Majalah 3 Istimewa: Kapsul Masa: Misi Ke Tokyo dengan kerjasama MKIM akan disiarkan sebanyak dua episod pada hari ini dan esok, jam 9 malam untuk merungkai misi pengembaraan 204 artifak dari Kuala Lumpur ke Tokyo.

Usaha sama antara MKIM dan Tokyo National Museum membuahkan hasil apabila 204 artifak dipinjamkan bagi tempoh lapan bulan bertujuan membuka lembaran sejarah tamadun Islam di negara matahari terbit itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studios, Datuk Khairul Anwar Salleh berkata, TV3 berbesar hati diberikan penghormatan menjadi sebahagian dalam misi pengembaraan kerana proses pengendalian dan pemindahan 204 artifak itu mampu menonjolkan kredibiliti serta ilmu pengetahuan luas kepada pasukan MKIM dalam memelihara dan memulihara peninggalan sejarah dunia.

“Jadi, TV3 tidak mahu ketinggalan berkongsi kapsul masa berharga untuk tontonan kerana ia adalah pencapaian besar di mana hasil kerja rakyat Malaysia dalam proses konservasi artifak dipamerkan di mata dunia,” katanya.

Sementara itu, Pengarah MKIM, Syed Mohamad Albukhary berkata, pihak amat berdedikasi berkongsi lebih 200 objek dalam koleksi penting kepada komuniti di Tokyo National Museum.

“Kami berharap agar pameran ini akan membuka pintu masyarakat Jepun kepada dunia Islam.

“Matlamat kami mengetengahkan kebudayaan dan kesenian bermula daripada awal abad kemunculan Islam sehingga hari ini,” katanya.

Majalah 3 Istimewa: Kapsul Masa: Misi Ke Tokyo bahagian pertama merungkai penyediaan teknikal di sebalik tabir, restorasi, preservasi dan konservasi yang diteliti oleh lima konservator dengan pengalaman khusus dalam bidang seramik, manuskrip, tekstil, logam dan lukisan.

Jika hasil konservasi ini berjaya, pameran di Tokyo akan mencatat koleksi lengkap sejarah dan budaya dunia Islam.

MKIM dibuka pada Disember 1998 menyimpan artifak dari dunia Islam dari Semenanjung Iberia sehingga Asia Tenggara.

 

Antara sedutan proses penyediaan teknikal di sebalik tabir, restorasi, preservasi dan konservasi yang diteliti oleh konservator dengan pengalaman dalam pelbagai bidang. - Foto Ihsan TV3
Antara sedutan proses penyediaan teknikal di sebalik tabir, restorasi, preservasi dan konservasi yang diteliti oleh konservator dengan pengalaman dalam pelbagai bidang. – Foto Ihsan TV3

 

MKIM adalah muzium kesenian Islam pertama dan terbesar di rantau Asia Tenggara.

Makmal MKIM juga adalah terbaik untuk proses konservasi. Cabaran kali ini berbeza kerana ia membabitkan 204 artifak daripada 60 sebelumnya.

Bagaimanakah mereka menjalankan tugas untuk memastikan misi pengembaraan dijayakan dalam tempoh kurang sebulan?

Majalah 3 Istimewa: Kapsul Masa: Misi Ke Tokyo bahagian dua pula fokus pada fasa seterusnya apabila setiap 204 artifak yang lengkap menjalani proses konservasi, dirapikan dalam peti khas untuk diterbangkan dalam tempoh tiga minggu.

Namun, pengembaraan ini terpaksa dilakukan tanpa penyeliaan dan pengendalian oleh pasukan MKIM sendiri kerana berhadapan dengan isu pandemik COVID-19.

Isu pandemik COVID-19 antara cabaran terbesar dalam misi ini. Kali pertama dalam sejarah MKIM, dua pemasang tidak dapat meneruskan perjalanan bersama artifak kendalian, lantaran pandemik mencatat angka paling tinggi di Malaysia dan Jepun.

Ikuti perkongsian dua konservator dan seorang kurator menerusi penceritaan ilmu yang mendorong minat dalam bidang konservasi artifak serta keunikan sejarah.

Mengenali karakter pengendali artifak bermaksud membawa penonton lebih dekat dengan keistimewaan khazanah berharga milik dunia Islam dan kepentingan artifak dilindungi dan dikendalikan sebaiknya apabila tiba di Jepun.

Jangan ketinggalan menyaksikan dua episod Majalah 3 Istimewa: Kapsul Masa: Misi ke Tokyo, kolaborasi antara TV3, MKIM dan Tokyo National Museum pada hari ini dan esok, jam 9 malam di TV3.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat