Pemergian arwah Jit ditangisi teman perjuangan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pemergian Allahyarham Jit Murad meninggalkan kesan mendalam kepada teman seperjuangannya.

Pelakon, pengarah dan aktivis teater berusia 62 tahun itu ditemui tidak bernyawa oleh rakan-rakan di kediamannya di Bukit Damansara, jam 2.15 petang, kelmarin.

Antara yang berduka dan menangisi pemergiannya termasuklah aktres dan penerbit, Puan Sri Tiara Jacquelina.

Aktres Terbaik, Festival Filem Malaysia pada 1995 itu berkata, mereka saling mengenali dan bersama berjinak pentas seni pada 1990-an.

“Saya dan arwah memulakan kerjaya tahun yang sama. Kami rapat sejak dari dahulu lagi.

“Secara peribadi, saya menyukai arwah apabila digandingkan dalam lakonan. Malah, saya turut memperkenalkan arwah kepada penerbit agar kami boleh berlakon bersama lagi,” katanya kepada BH Online.

Pelakon filem Puteri Gunung Ledang itu, mereka juga mempunyai nama panggilan aneh untuk diri masing-masing.

“Arwah memanggil saya dengan nama Jackson kerana selalu berasakan diri saya seperti ‘tomboy’.

“Saya pula memanggilnya dengan panggilan Jitson tanpa ada sebab tertentu,” kata Tiara.

 

Tiara kenang momen lucu bersama arwah Jit ketika membintangi filem Hollywood, Beyond Rangoon pada 1995.
Tiara kenang momen lucu bersama arwah Jit ketika membintangi filem Hollywood, Beyond Rangoon pada 1995.

 

Tiara mendedahkan, mereka juga pernah berpeluang berlakon dalam filem Hollywood berjudul Beyond Rangoon yang ditayangkan pada 1995.

“Ia membuka mata dan memperkayakan pengalaman kami. Ia sangat melucukan apabila kami akan memastikan posisi nampak dalam skrin pada setiap babak walaupun hanya memegang watak pembantu.

“Ia pengalaman hidup seorang pelakon yang tidak memegang watak utama. Yang lucu apabila kami melaluinya dan mungkin ada antara kita ambil mudah.

“Tidak sangka, pelakon utama dari Hollywood, Patricia Arquette dan Frances McDormand menang pada Anugerah Akademi.

“Setiap kali mengenang momen filem Hollywood ini, kami akan berseloroh bagaimana kalau diberi kesempatan untuk menulis skrip untuk sitkom kehidupan dua pelakon tambahan seperti kami,” katanya Tiara yang berada di Johor Bahru dan tidak mempunyai akses mencari gambar kenangan berdua.

 

Arwah Jit ditemui tidak bernyawa oleh rakan-rakan di kediamannya di Bukit Damansara, jam 2.15 petang, kelmarin.
Arwah Jit ditemui tidak bernyawa oleh rakan-rakan di kediamannya di Bukit Damansara, jam 2.15 petang, kelmarin.

 

Sementara itu, teman seperjuangan arwah Jit di pentas teater, Jo Kukathas menerusi perkongsiannya dalam laman Facebook mengakui, sangat sukar menerima kehilangan arwah.

“Beberapa tahun lalu, kamu (Jit) menjerit ke arah saya ketika hadir parti hari lahir seseorang.

“Ketika itu, arwah Jit berkata, kalau mati, dia mahu saya memberikan ucapan. Kamu memang selalu buat perkara tidak sesuai dalam situasi tertentu, tetapi itulah yang membuatkan saya menyayangi kamu.

“Tetapi, maafkan saya, Jit. Saya tak boleh menerima kenyataan yang Jit sudah tiada. Saya hilang kata-kata,” tulis Jo.

Jo berkongsi, kenangan bersama akan menjadi tanda ingatan pada hari mendatang.

“Inilah caranya saya mahu mengingati kamu. Mengingati kita sebagai dua manusia yang melalui perjalanan bersama dan kemudian berpisah ikut haluan sendiri dengan janji untuk kembali bertemu pada alam lain seterusnya,” kata Jo.

Terdahulu, berita pemergian arwah Jit atau nama sebenarnya, Aziz Mirzan disahkan oleh teman baiknya, Fizar Harun.

Fizar berkata, dia dan beberapa teman cuba menghubungi arwah, namun tidak berjawab.

“Jadi, saya dan beberapa teman bergegas ke kondominiumnya untuk memeriksa. Namun, kami menemui arwah sudah tidak bernyawa,” kata Fizar.

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat