Jangan Sentuh Kerusi Tradisi MIC – Vigneswaran

- Advertisement -

ISKANDAR PUTERI: MIC tidak mempunyai masalah jika Barisan Nasional (BN) memperuntukkan kerusi kepada parti mesra BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor asalkan tidak menyentuh kerusi tradisionalnya, kata Presidennya Tan Sri S.A Vigneswaran.

“(BN boleh) mempertimbangkan kerusi UMNO dan sebagainya, tiada masalah, pertimbangkan sesiapa pun tak ada masalah asalkan bukan kerusi kita (MIC),” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Briged MIC Johor di Stadium Tertutup Kompleks Sukan EduCity di sini hari ini.

Vigneswaran berkata demikian kepada pemberita ketika ditanya sama ada pembahagian kerusi antara BN untuk PRN tersebut turut melibatkan parti mesra BN.

Sebelum ini, Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) dan Parti Makkal Sakti Malaysia (Makkal Sakti) dilaporkan ada membuat permintaan untuk turut bertanding kepada kepimpinan tertinggi BN bersandarkan kesetiaan mereka bersama gabungan berkenaan selama ini.

Ditanya mengenai hasrat UMNO untuk bertukar dengan kerusi tradisi MIC iaitu Gambir dan Kahang, Vigneswaran berkata di dalam BN ada semangat tolar ansur.

Beliau berkata ketika ini MIC sedang berunding dengan Pengerusi BN (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi).

“Kami mengharapkan berita baik,” katanya.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, MIC bertanding di empat kerusi namun memenangi kerusi Kahang dan Tenggaroh dan tewas di Gambir dan Skudai.

Sementara itu, Pengerusi BN Johor Datuk Hasni Mohammad berkata sekiranya BN memenangi PRN Johor, skim kuota menegak kerajaan (KMK) juga perlu dikembalikan semula bagi memberikan peluang perumahan kepada semua masyarakat.

“Kalau dulu kuota KMK ada 10 peratus disediakan untuk rakyat India tetapi Pakatan Harapan (PH) merasakan bahawa kita menggunakan KMK sebagai satu daripada penyalahgunaan kuasa.

“Kalau kita menang esok (PRN Johor), KMK ini perlu kita kembalikan semula kepada semua masyarakat kerana itu perkara paling penting untuk beri peluang perumahan kepada semua masyarakat,” katanya ketika berucap pada majlis itu.

Turut hadir, Timbalan Presiden MIC Datuk Seri M.Saravanan, Bendahari Agung BN Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Pengerusi MIC Johor R.Vidyananthan, Ketua Wanita MIC Datuk Mohana Muniandy dan Ketua Pemuda MIC K.Raven Kumar.

Sementara itu, Hasni berkata terma pengundi muda seharusnya diubah kepada pengundi baharu bagi membezakan dengan parti MUDA.

“Kalau kita menghadapi pengundi automatik ini, saya harap tidak ada lagi hari ini kita mengatakan pengundi muda.

“Tidak, jangan sebut muda, sebut pengundi baharu. Saya tidak mahu parti MUDA itu seolah-olah mewakili orang muda,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat