Data banci penduduk bantu kerajaan rapatkan jurang pendapatan, bantuan kewangan – PM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri l, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan penduduk Malaysia berjumlah 32.4 juta dengan Purata Kadar Pertumbuhan Tahunan (CAGR) penduduk adalah 1.7 peratus dalam tempoh 10 tahun.

Ismail Sabri memberitahu dari segi tempat kediaman pula, sebanyak 9.6 juta telah dibanci.

Katanya, terdapat 8.2 juta Isi Rumah (IR) dengan Purata Saiz IR persendirian adalah sebanyak 3.8 manakala penduduk mengikut kewarganegaraan menunjukkan 91.7 peratus (29.8 juta) adalah warganegara, manakala 8.3 peratus (2.7 juta) adalah bukan warganegara.

Ujar beliau, daripada 32.4 juta penduduk yang telah dibanci, 52.3 peratus ialah lelaki manakala 47.7 peratus ialah perempuan. Nisbah Jantina adalah 110 lelaki berbanding 100 wanita.

“Penemuan banci juga menunjukkan negeri yang mempunyai bilangan wanita melebihi lelaki adalah Wilayah Persekutuan Putrajaya, di mana 100 orang wanita bersamaan 96 orang lelaki.

“Bagi statistik mengikut etnik, penduduk Bumiputera mencatatkan peratusan tertinggi sebanyak 69.4 peratus diikuti oleh etnik Cina ( 23.2 peratus), India ( 6.7 peratus) dan lain-lain ( 0.7 peratus),” ujarnya.

Menurut Perdana Menteri, Statistik Banci Penduduk dan Perumahan dapat memberi gambaran sebenar mengenai situasi kependudukan semasa Malaysia termasuklah saiz, taburan, komposisi dan ciri sosio-ekonomi penduduk serta perumahan.

Kata beliau, bertitik-tolak daripada maklumat yang diperoleh inilah kerajaan akan dapat menentukan bagaimana pembiayaan kerajaan bernilai berbilion ringgit Malaysia dapat dibelanjakan di seluruh negara.

“Di sinilah bagaimana kerajaan dapat menyalurkan bantuan kewangan kepada rakyat yang layak dan memerlukan seperti menangani jurang pendapatan dan kekayaan rakyat yang semakin melebar, membasmi kemiskinan dan mengurus kumpulan isi rumah berpendapatan B40, termasuk golongan mudah terjejas (rentan ekonomi) dan terpinggir.

“Di sini, Jabatan Perangkaan juga bertanggungjawab dalam mengeluarkan pengiraan kumpulan isi rumah berpendapatan mengikut kategori B40,
M40 dan T20.

“Kumpulan sasar seperti warga emas dan golongan kelainan upaya turut tidak akan terkecuali menikmati limpahan kesejahteraan ini.

“Penghasilan profil yang terperinci akan digunakan untuk membuat perancangan dan keputusan berkenaan perkhidmatan awam yang diperlukan bagi setiap lokaliti seperti hospital, sekolah, jalan raya dan pengangkutan awam. Ia juga akan digunakan untuk pengiraan pendapatan per kapita, penggubalan dasar-dasar warga emas dan perancangan sosial,” jelas beliau.

Ismail Sabri berkata, di samping menentukan dasar dan polisi yang terbaik, maklumat yang dikumpulkan melalui banci ini akan digunakan untuk menilai pencapaian negara pada masa kini.

Beliau memaklumkan, data yang dikumpul melalui Banci Penduduk dan Perumahan 2020 dapat memberikan gambaran kepada kita, di mana kita berada.

“Kerajaan juga dapat menyediakan input terbaik dalam meletakkan hala tuju negara pada masa akan datang.

“Sebagai negara upper middle income dengan jumlah komposisi generasi muda dan para pelajar yang besar dalam masyarakat, kerajaan akan turut memfokuskan kepada penyediaan generasi muda yang dapat mengharungi cabaran IR4.0 dengan memperkasa kurikulum pendidikan sekolah dan universiti dengan memperkukuhkan sistem pendidikan yang holistik, serta melaksanakan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan kemahiran penilaian analitik berdasarkan data dan sains.

“Di samping itu, pewujudan dan peluang pekerjaan sememangnya menjadi antara agenda penting negara
dalam memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia,” katanya.

Perdana Menteri menambah, dari segi kumpulan umur, dapatan daripada 32.4 juta penduduk Malaysia menunjukkan 6.8 peratus adalah berumur 65 tahun dan ke atas, 69.3 peratus ialah umur bekerja (15 hingga 64 tahun) dan bakinya 24.0 peratus dalam kalangan umur muda (0 hingga 14 tahun).

Selain itu katanya, warga emas iaitu penduduk yang berumur 60 tahun ke atas telah direkodkan sebanyak 10.5 peratus (3.4 juta). berbanding pada tahun 2010 ialah 8.0 peratus (2.2 juta).

“Umur muda telah menunjukkan penurunan daripada 27.6 peratus pada 2010 kepada 24.0 peratus pada 2020,” katanya.

Ismail Sabri berkata, penemuan Banci 2020 yang akan dijadikan tanda aras baharu untuk kerajaan menggariskan polisi dan dasar yang berkaitan dalam pembangunan kesejahteraan rakyat, di samping dapat memberikan input yang menyeluruh dalam pelaksanaan dasar sedia ada seperti Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030), Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) dan Agenda 2030 Pembangunan Mampan (SDGs).

Tambah beliau, dalam menghasilkan statistik kependudukan dan demografi melalui pelaksanaan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 ini, kolaborasi dan kerjasama strategik antara Jabatan Perangkaan Malaysia dengan kementerian, dan agensi kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan serta pihak swasta dan masyarakat umum telah terjalin erat bagi menjamin integriti data yang diterbitkan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat