KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan sijil nikah anak seorang menteri Kabinet adalah sah, selepas mereka berkahwin di negara jiran September lalu.
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, sijil nikah itu setelah disemak adalah sah dari negara jiran, di mana hasil siasatan mereka ini bercinta dan ingin berkahwin namun ada halangan.
Beliau berkata, pasangan itu sebenarnya menyorok perkahwinan yang berlaku pada September tahun lalu dan rakannya sendiri tidak mengetahuinya.
“Apabila jadi isu macam ini, kawan-kawan mereka pun tidak tahu…jadi mereka tidak mahu memperbesarkan kerana takut keluarga terasa hati.
“Kertas siasatan juga sudah dilengkapkan dan dihantar ke Timbalan Pendakwaraya (TPR) di Pulau Pinang di man masih menunggu arahan selanjutnya,” katanya kepada media selepas Majlis Apresiasi Ketua Polis Negara Bersama Pegawai Polis yang Bersifat Mulia dan Budiman, Pulapol pada Selasa.
Media sebelum ini melaporkan polis sudah melengkapkan kertas siasatan kes ugutan jenayah yang dikaitkan dengan anak seorang menteri Kabinet seperti tular di media sosial.
Siasatan kes itu sudah dihantar ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) pada 6 Januari lalu, untuk tindakan selanjutnya mengikut peruntukan undang-undang sedia ada, lapor BH.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, juga dilapor berkata, anaknya tidak mengatasi undang-undang dan sekiranya ada laporan terhadapnya, dan polis bertanggungjawab untuk melakukan siasatan dengan telus dan seadilnya.
Menurut Saifuddin, merujuk kepada kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, kertas siasatan berhubung kes itu sudah dilengkapkan dan diserahkan kepada Peguam Negara.
Terdahulu tular dalam laman sosial aplikasi Telegram kes membabitkan anak seorang menteri, yang dilaporkan mengugut seorang wanita yang memintanya bertanggungjawab atas kandungan sejak tujuh minggu lalu.
Kejadian ugutan itu dilaporkan berlaku ketika anak menteri terbabit sedang berbincang bersama wanita itu dan beberapa saksi lain di sebuah rumah di Telok Air Tawar, Butterworth, Pulau Pinang, pada 24 Disember tahun lalu.
Pada masa ini siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.