KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta agar semua kementerian dan agensi kerajaan untuk memberi kerjasama penuh kepada Unit Pantau Madani.
Kata Anwar, terutamanya dalam permohonan data dan maklumat yang diperlukan bagi menjayakan Agenda Ekonomi Madani dan pelunasan Belanjawan bagi kesejahteraan rakyat.
“Mengadakan pertemuan dengan Ketua Pengarah Unit Pantau Madani, Firouz Asnan di pejabat hari ini.
“Unit ini diberikan mandat untuk memantau pelaksanaan dan keberkesanan Belanjawan Madani dan segala program serta dasar kerajaan yang diumumkan bagi mencapai matlamatnya.
“Saya meminta agar semua Kementerian dan Agensi Kerajaan untuk memberi kerjasama penuh kepada Unit Pantau Madani, terutamanya dalam permohonan data dan maklumat yang diperlukan bagi menjayakan Agenda Ekonomi Madani dan pelunasan Belanjawan bagi kesejahteraan rakyat,” ujar Perdana Menteri pada Rabu.
Pada 5 Disember baru-baru ini, Perdana Menteri berkata, kerajaan akan mewujudkan unit pemantauan yang dikenali sebagai Pantau Madani bagi memantau pelaksanaan program diumumkan mencapai matlamatnya.
Beliau berkata, unit tersebut akan diletakkan di bawah tanggungjawab Jabatan Perdana Menteri.
Perdana Menteri berkata, unit tersebut akan dipertanggungjawabkan untuk mengukur sejauh mana program dilaksanakan kerajaan mencapai matlamat seperti yang diumumkan.