KUALA LUMPUR – Interpol (Polis Antarabangsa) memaklumkan kepada Bukit Aman telah memasukkan nama dua individu kontroversi iaitu Jho Low dan Nicky Liow Soon Hee.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani mengesahkan pihaknya telah memperolehi Notis Merah (Red Notice) daripada Interpol untuk memasukkan dua individu dalam buruan tersebut dalam senarai carian jabatan itu.

Acryl Sani dalam kenyataan berkata, polis memperolehi Notis Merah terhadap Jho Low menerusi notis bertarikh 11 Jun 2018 manakala Nicky Liow, 20 April 2021.

Beliau berkata, terdapat dua kategori Notis Merah Interpol iaitu boleh dikongsi bagi paparan atau makluman awam dan satu lagi dihadkan untuk diakses oleh agensi penguatkuasa.

“Ibu Pejabat Interpol merupakan pihak yang akan menentukan jenis kategori notis itu dan tertakluk kepada tahap keseriusan dan ancaman kepada awam.

“Kedua-dua Notis Merah yang dikeluarkan ke atas Jho Low dan Nicky Liow adalah untuk tatapan agensi penguatkuasaan sahaja,” kata kenyataan itu.

Acryl Sani menambah, polis kekal komited dalam usaha memastikan kedua-dua penama berkenaan ditahan dan dibawa ke muka pengadilan.

Terdahulu, Acryl Sani yang dipetik sebagai berkata, polis sebelum itu telah membuat permohonan Notis Merah itu bagaimanapun nama Jho Low dan Nicky Liow masih belum dimasukkan ke dalam senarai Notis Merah oleh Interpol.

November lepas, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dilaporkan mengakui tidak mempunyai maklumat mengenai keberadaan Jho Low.

Jho Low menjadi buruan ekoran skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) manakala pengasas Winner Dynasty Group, Nicky Liow berhubung sindiket Macau Scam.