KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan menyifatkan pemergian Tun Daim Zainuddin sebagai satu kerugian besar buat negara.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu itu juga menyatakan jasa Daim kepada negara tidak sama sekali boleh dipadam.
“Tun Daim merupakan seorang negarawan yang banyak berjasa. Dari segi pembangunan dan pengurusan ekonomi negara, sumbangan beliau tidak boleh dipertikai.
“Jasa Tun Daim dalam evolusi politik negara juga sukar ditandingi. Sejak era Umno dan kemudian Bersatu, gandingan beliau dan Tun Dr Mahathir Mohamad telah memberi corak kepada landskap politik Malaysia yang dapat kita lihat hingga hari ini.
“Cuma saya kecewa kerana seorang yang begitu banyak jasanya kepada negara dan bangsa menjadi seorang lagi mangsa dendam politik di penghujung hayat beliau.
“Rehatlah Tun Daim. Jasa Tun tidak sama sekali boleh dipadam. Semoga Tun Daim tenang di alam sana,” ucap Wan Saiful dalam catatan di Facebook pada Rabu.
Dalam pada itu, Wan Saiful juga berkongsi bahawa beliau sendiri mendapat manfaat yang banyak dari nasihat-nasihat dan sokongan yang diberikan oleh Allahyarham Daim dalam siri-siri pertemuan dengan beliau baik di kediamannya di Bukit Tunku, mahupun di Menara Ilham.
“Malahan saya terhutang budi atas jasa Tun Daim turun sama berkempen beberapa kali semasa saya bertanding pilihan raya dulu.
“Tun Daim juga mempunyai besar dalam penubuhan dan pembinaan Bersatu. Sejak awal, beliau bukan saja mendokong penubuhannya, tetapi juga menjadi tempat rujukan kami selaku pemimpin parti apabila kami perlukan pandangan dan nasihat.
“Malahan, semasa saya menziarahi beliau baru-baru ini, beliau masih bertanyakan mengenai perkembangan parti. Nyata sekali rasa sayang kepada Bersatu masih tebal di hatinya,” kata Wan Saiful lagi.