KUALA LUMPUR — Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching memaklumkan beberapa sesi libat urus telah dijalankan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung cadangan pindaan kepada seksyen 233.
Beliau berkata seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) adalah peruntukan sedia ada yang boleh dikuatkuasakan bagi menangani sebarang aktiviti kemudaratan dalam talian.
“Maklum balas daripada sesi libat urus tersebut telah diambil kira dalam memuktamadkan cadangan pindaan kepada Akta 588, di mana penelitian dan kajian yang terperinci telah dilaksanakan oleh MCMC dan Kementerian Komunikasi bagi memastikan skop dan penggunaannya adalah lebih jelas dan tidak disalahgunakan dan bagi memastikanpenguatkuasaannya dapat menangani kemudaratan dalam.
“Tidak ada cadangan untuk kerajaan (membuat moratorium) sebelum ia dibentang di Parlimen kerana kita nampak ada kes yang wajar juga dibawa ke mahkamah.
“Kalau kita cakap hentikan untuk guna pakai sesyen 233 sampai dapat kelulusan dan pindaan di Parlimen, ini tidak praktikal,” katanya ketika menjawab soalan tambahan yang dikemukakan Kamal Ashaari (PN-Kuala Krau) di Dewan Rakyat, hari ini.
Terdahulu, Kamal meminta kementerian menjelaskan adakah kerajaan berhasrat untuk mewujudkan moratorium terhadap sesyen 233 sebelum ia dibentang di Parlimen untuk diluluskan pindaannya.
Mengulas lanjut, Nie Ching berkata seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 akan terus diguna pakai dengan mengambil kira sesuatu isu yang berlaku.
Jelasnya kerajaan juga akan terus mencari jalan untuk membuat penambahbaikan sebelum ia dibentang di Parlimen.
“Tindakan penguatkuasaan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) adalah berdasarkan pemantauan proaktif serta aduan yang diterima daripada orang awam dan juga permohonan daripada agensi penguatkuasaan yang lain.
“MCMC akan menjalankan siasatan secara telus terhadap kandungan yang diadukan dan hasil siasatan kemudiannya akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara bagi tindakan pendakwaan.
“Cadangan pindaan kepada Akta 588 termasuk cadangan pindaan kepada seksyen 233 dihasratkan untuk dibentangkan di Parlimen dalam mesyuarat kali ini tertakluk kepada kelulusan Jemaah Menteri,” ujarnya.