Jumlah mangsa banjir di Perak berkurangan kepada 227 orang

- Advertisement -

TELUK INTAN – Jumlah mangsa banjir di Perak berkurang kepada 227 orang daripada 65 keluarga yang ditempatkan di empat pusat pemindahan sementara (PPS) di dua daerah, berbanding 320 mangsa daripada 93 keluarga di lima PPS tengah hari tadi.

Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Perak melaporkan, setakat jam 8 malam, PPS Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) Langkap yang dibuka sejak 1 November lalu ditutup secara rasmi jam 6.30 petang tadi selepas keadaan banjir mulai pulih.

Hilir Perak masih menjadi daerah paling terjejas dengan merekodkan 147 mangsa daripada 43 keluarga ditempatkan di dua PPS, diikuti daerah Kerian yang mencatatkan sejumlah 80 mangsa daripada 23 keluarga dipindahkan ke dua PPS.

Di Hilir Perak, PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak yang dibuka 23 Oktober dan PPS Dewan Serbaguna Chikus yang mula beroperasi Rabu lalu masih aktif. Di Kerian, PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Lobak dibuka 24 Oktober lalu dan PPS SK Alor Pongsu dibuka 30 Oktober juga berstatus aktif.

PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak menempatkan 118 orang daripada 36 keluarga, PPS Dewan Serbaguna Chikus menempatkan 27 mangsa daripada tujuh keluarga. PPS SK Changkat Lobak pula dihuni 23 mangsa daripada empat keluarga, manakala baki 57 mangsa daripada 19 keluarga ditempatkan di PPS SK Alor Pongsu.

Dalam pada itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perak melaporkan paras air Sungai Bidor di Changkat Jong, dekat sini mencecah 3.35 meter (m), melepasi paras amaran 3.22m. Sungai Kinta di Weir Tanjung Tualang pula pada paras berjaga-jaga dengan bacaan 13.03m, melebihi paras berjaga-jaga 13.00m.

Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak melaporkan penutupan jalan Persekutuan di beberapa daerah berikutan situasi banjir semasa.

Di Kerian, FT147 Jalan Selama ditutup kepada semua jenis kenderaan berikutan kenaikan paras air di jalan terbabit, dengan pengguna dinasihat menggunakan jalan alternatif A111 Jalan Pintasan Alor Pongsu-Bukit Merah.

Di Hilir Perak, A129 Jalan Langkap-Air Hitam dipasang papan amaran sementara dan pengguna diminta menggunakan jalan alternatif FT058. Di Batang Padang, JKR menyegerakan kerja pembaikan bahu jalan di FT1152 FELDA Trolak Selatan yang runtuh dengan jalan dibuka satu lorong untuk kenderaan ringan sahaja.

Selain itu, pemasangan Pelan Pengurusan Trafik (TMP) sudah dibuat di FT001 Jalan Ipoh-Tanjung Malim dengan jalan dibuka satu lorong kepada semua jenis kenderaan.

Di Selama, JKR Perak sedang menjalankan kerja-kerja pembersihan di A021 Jalan Kubu Gajah Ijok-Sumpitan, namun jalan dibuka untuk semua kenderaan. Bagi mengelak kesesakan, pengguna dinasihat menggunakan jalan alternatif di Jalan Pintasan Kampung Sumpitan-Kampung Masjid. – BH

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat