PRU15: Rakyat Perlu Bijak Pilih Parti Yang Boleh Bantu Rakyat – Hishammuddin

- Advertisement -

KUALA SELANGOR – Rakyat perlu bijak membuat pilihan dan tidak sekali lagi terpedaya dengan fitnah dan tomahan parti pembangkang yang hanya mahu meraih sokongan pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Bendahari Agung BN, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, rakyat perlu mengingati semula bagaimana pemerintahan Pakatan Harapan (PH) selama tempoh 22 bulan menerajui negara.

Malah, katanya, beliau yakin bahawa rakyat sudah mula sedar bahawa parti lawan hanya menanam kebencian kepada BN untuk memenangi pilihan raya.

“Pengundi sudah memberikan mereka peluang pada PRU14 lalu, tetapi sekarang pada PRU15 ini, pengundi sudah boleh buat perbandingan (parti) mana yang boleh diberikan peluang,” katanya pada sidang akhbar di Balai Raya Kampung Bestari Jaya di sini pada Ahad.

Hishammuddin sebelum itu, turut beramah mesra bersama penduduk pada Karnival Sukan Bola Sepak bersama Masyarakat India di Padang Bestari Jaya.

Hishammuddin memberitahu, masyarakat sebenarnya sudah letih dalam politik yang dimainkan oleh pihak pembangkang.

“Kesalahan (kegagalan pentadbiran PH) itu seharusnya dipikul pembangkang kerana mereka berpolitik sejak PRU14.

“Pada PRU15 ini pun mereka politikkan seperti undi tentera, undi pos, malah mereka juga tiada persefahaman antara Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalannya, Rafizi Ramli,” jelas beliau.

Sehubungan itu, katanya, rakyat ingin melihat politik di negara ini secara matang dan positif pada masa depan.

Ujar beliau, tawaran itu hanya mampu diberikan kepada BN yang dianggap membela nasib rakyat secara keseluruhannya.

Ditanya mengenai program turun padang beliau di Parlimen Sungai Buloh dan Kuala Selangor, Hishammuddin memberitahu, terdapat semangat luar biasa dalam kalangan pengundi di dua kawasan terbabit.

Jelasnya, sekiranya calon BN Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin dan calon BN Parlimen Kuala Selangor, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz diberikan peluang, tentunya mereka mampu membantu rakyat di kawasan tersebut.

“Ini satu petanda baik tetapi saya nasihatkan jentera kita jangan toleh ke belakang kerana tinggal beberapa hari sahaja lagi tarikh pembuangan undi.

“Jentera mesti teruskan momentum kerana saya percaya kalau Khairy dan Tengku Zafrul diberikan tempat, mereka boleh berkhidmat untuk rakyat,” kata beliau. – Sinar

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat