“Saya tak tahu siapa pemimpin MIC yang Zahid temui” – Presiden MIC

KUALA LUMPUR – Presiden MIC Tan Sri SA Vigneswaran terkejut dengan dakwaan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa beliau telah bertemu dengan pemimpin MIC beberapa kali minggu lalu bagi membincangkan masa depan parti itu dalam gabungan tersebut.

Vigneswaran memberitahu kali terakhir beliau bertemu Zahid yang juga Presiden Umno dalam kapasiti sebagai Presiden MIC adalah kira-kira 2 tahun lalu.

“Saya juga pernah bertemunya kira-kira 3 bulan lepas, ketika menghadiri satu mesyuarat perpaduan nasional yang turut dihadirinya,” katanya memetik laporan FMT pada Isnin.

Menurut Vigneswaran, beliau tidak pernah bertemu Zahid untuk membincangkan kedudukan parti itu dalam BN susulan khabar angin bahawa MIC berhasrat meninggalkan gabungan tersebut untuk menyertai Perikatan Nasional (PN).

Jelas Vigneswaran lagi, walaupun beliau tidak dapat bercakap mewakili MCA, setakat yang diketahuinya, mesyuarat antara MIC dan Zahid yang sepatutnya diadakan Khamis lalu telah ditangguhkan disebabkan keadaan yang tidak dijangka.

“Jadi, saya benar-benar terkejut dengan kenyataan beliau. Saya tidak tahu siapa sebenarnya pemimpin yang beliau maksudkan telah ditemuinya. Bagi pihak kami, sebarang perbincangan mesti dilakukan bersama kepimpinan tertinggi parti,” katanya ketika diminta mengulas laporan media yang memetik kenyataan Zahid mengenai perkara itu.

Menurut laporan Mingguan Malaysia, Zahid berkata beliau telah bertemu dengan pemimpin MIC dan MCA 2 hingga 3 kali minggu lalu, berhubung persoalan tentang masa depan kedua-dua parti dalam BN.

Zahid turut dipetik sebagai berkata bahawa sesetengah pemimpin mungkin ‘perlukan toys’ dan ‘apabila tidak dapat, mereka hentak-hentakkan kaki di lantai’.

Beliau juga berkata bahawa suara segelintir pemimpin tidak mencerminkan suara akar umbi.

Zahid menyatakan bahawa BN akan mempertimbangkan pemberian jawatan dalam kerajaan kepada MCA dan MIC selepas pilihan raya umum akan datang.

Vigneswaran mengucapkan terima kasih kepada Zahid atas kenyataan itu tetapi menegaskan bahawa MIC tidak berminat dengan jawatan kerajaan.

Beliau juga menolak dakwaan Zahid bahawa BN telah menjalankan satu kajian yang kononnya menunjukkan akar umbi MIC tidak bersetuju parti itu keluar daripada gabungan tersebut.

“Saya tidak tahu-menahu tentang sebarang kajian seperti itu,” katanya.

Sebaliknya, katanya, kepimpinan MIC telah pun bertemu dengan ahli jawatankuasa bahagian di kebanyakan negeri utama dan menerima maklum balas yang sangat positif dan rasional.

“Mereka juga melahirkan kebimbangan tentang cara MIC dilayan oleh kepimpinan BN. Mereka mahu parti ini dilayan dengan maruah dan penghormatan. Mereka memberitahu CEC (Jawatankuasa Eksekutif Pusat) supaya melakukan apa yang dirasakan terbaik untuk masa depan MIC,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat