BERSIH halang Wisma Putra jadi pemerhati pilihan raya palsu Junta Myanmar

KUALA LUMPUR – Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) menolak Pilihan Raya Palsu anjuran pihak Junta Myanmar yang dijadualkan berlangsung pada 28 Disember 2025.

Jawatankuasa Pemandu BERSIH menegaskan, pendirian ini juga telah dibuat pada 15 September 2025 bersama gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil dan Kesatuan Sekerja Antarabangsa untuk menggesa seluruh negara ASEAN memboikot pilihan raya palsu ini.

“BERSIH sekali lagi menggesa kerajaan Malaysia, yang juga menjadi negara yang mempengerusikan ASEAN, untuk tidak mengiktiraf pilihan raya palsu ini serta menarik balik sebarang keputusan untuk menghantar pemerhati pilihan raya bagi memerhati Pilihan Raya Myanmar 2025.

“Ini seperti yang dilaporkan media, yang telah diisytiharkan pilihan raya palsu oleh kumpulan masyarakat sivil di peringkat tempatan dan antarabangsa,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Tegas BERSIH, pilihan raya ini hanyalah satu sandiwara untuk mendapat legitimasi politik antarabangsa dan bermakna lebih ramai rakyat biasa akan terkorban di bawah Junta Myanmar.

“Pilihan raya yang hendak dilaksanakan oleh Junta Myanmar ini tidak menepati sebarang kriteria pilihan raya bebas dan adil serta bercanggahan dengan amalan baik di peringkat antarabangsa.

“Pilihan raya ini tidak mempunyai sebarang kredibiliti dan legitimasi seperti yang dihuraikan dalam laporan Asian Network for Free Elections (ANFREL).

“ANFREL telah menyenaraikan 15 tindakan fatal oleh Junta Myanmar yang menunjukkan berlakunya kezaliman, tekanan dan sistem yang tempang serta berat sebelah,” jelas BERSIH.

Sebagai contoh katanya, tangkapan Pengerusi dan dua ahli Union Election Commission (UEC) Myanmar yang menjalankan Pilihan Raya 2020 Myanmar dengan jayanya.

“Pengerusi UEC tersebut kemudiannya ditukar dengan seorang bekas Major Jeneral Tentera yang sudah pro kepada Junta Myanmar.

“Pihak Junta juga mengharamkan parti-parti politik yang telah memenangi lebih 80 peratus kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya 2020 dan mengenakan undang-undang repressif termasuk menjatuhkan hukuman mati kepada pihak penentang,” ujarnya.

Justeru BERSIH menegaskan pihak Junta Myanmar harus menghentikan keganasan dan penindasan ke atas rakyat Myanmar serta membebaskan semua tahanan politik yang kritikal terhadap Junta Myanmar.

“BERSIH juga mendesak supaya Junta Myanmar mengembalikan pemerintahan kepada pihak yang memenangi Pilihan Raya Myanmar 2020 sebelum cuba mendapatkan legitimasi antarabangsa dengan melaksanakan Pilihan Raya 2025,” gesa BERSIH.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat