KUALA LUMPUR — Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) mengecam keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membenarkan empat pelajar lelaki yang disiasat dalam kes rogol bergilir di Melaka menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bulan depan.
Ketua Penerangan ARMADA, Harris Idaham Rashid, berkata keputusan itu terlalu longgar dan tidak mengambil kira keseriusan jenayah yang berlaku di kawasan sekolah.
“Kita memahami bahawa mereka belum didapati bersalah di bawah Seksyen 375 (b) Kanun Keseksaan, tetapi kes ini melibatkan empat pelajar lelaki yang lebih dewasa dan terancang. Malah, kejadian berlaku dalam bilik darjah tempat yang sepatutnya menjadi ruang selamat untuk menuntut ilmu.
“Pendekatan KPM terlalu terbuka dan ‘too lenient’. Ia menghantar mesej salah bahawa pelaku jenayah seksual masih boleh menikmati keistimewaan sama seperti pelajar lain tanpa sebarang batasan,” tambahnya.
Menurut Harris, kes itu melambangkan kelemahan ketegasan kementerian dalam menangani jenayah di sekolah, susulan beberapa insiden buli dan kematian pelajar yang tular tahun ini.
“Tahun 2025 seharusnya menjadi tahun pembetulan selepas pelbagai tragedi melibatkan pelajar. Namun, keputusan seperti ini menunjukkan bahawa KPM masih gagal membuktikan tiada kompromi terhadap kes jenayah.
“Bagaimana masyarakat hendak percaya pada sistem yang sama apabila pesalah diberi laluan mudah, tetapi mangsa terus menderita trauma dan kehilangan maruah?” soalnya.
ARMADA mencadangkan empat pelajar terbabit tidak dibenarkan menduduki peperiksaan SPM bersama pelajar lain, sebaliknya diberi peluang di Sekolah Henry Gurney atau Sekolah Integriti jika disabitkan kesalahan.
“Jika dibenarkan menduduki SPM seperti biasa, ia seolah-olah menggambarkan bahawa selepas melakukan kes rogol, semuanya boleh ‘move on’ tanpa hukuman sewajarnya.
“Mangsa pula terus menanggung tekanan psikologi dan malu akibat penyebaran video kejadian tersebut,” tegas beliau.
Harris turut menggesa Menteri Pendidikan agar berhenti menonjolkan kesetiaan politik, sebaliknya membuktikan keazaman dalam melindungi pelajar daripada jenayah di sekolah.
“Kebimbangan ibu bapa terhadap keselamatan anak-anak di sekolah kini sudah mencapai tahap membimbangkan. Menteri perlu buktikan tindakan tegas, bukan hanya menyanjung Perdana Menteri dengan slogan ‘Selamat Hari Lahir PMX, We Love You PMX’.
“Tugas utama beliau adalah menjamin keselamatan pelajar, bukan mencari populariti politik,” tegas Harris.



