MCA ada maruah, tak akan melutut hanya kerana nak dapatkan ‘mainan’

KUALA LUMPUR – Naib Presiden MCA Datuk Tan Teik Cheng MCA menegaskan parti itu bermaruah dan berprinsip justeru tidak akan sesekali melutut hanya kerana mahu mendapatkan ‘mainan’ seperti didakwa Presiden Umno.

Teik Cheng bahkan memulang paku buah keras kepada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dengan bertanya adakah kerjasama Umno-DAP wujud sebab diberikan ‘mainan’?

“Ada pemberita yang meminta saya mengulas laporan Malaysiakini bertajuk, “Ada pemimpin MCA, MIC merajuk bila tak dapat mainan – Zahid”. Dalam laporan tersebut, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Zahid kata, “kita membuat kajian, ahli di bawah tidak mahu keluar daripada BN, tetapi satu tokoh-tokoh itu mungkin mereka perlukan toys, jadi apabila tidak dapat toys lagi, maka mereka hentak-hentakkan kaki di lantai.”

“Pertama sekali saya ingin membetulkan tajuk tersebut. Pemimpin MCA tidak pernah merajuk kerana tidak dapat ‘mainan’. Bukan MCA yang menyebut tentang ‘mainan’ atau ‘toys’ tersebut. MCA sentiasa menjunjung integriti dan prinsip politik serta tidak akan sewenang-wenangnya mengubah pendiriannya atau menggadai prinsipnya demi keuntungan yang sementara atau menjawat jawatan dalam Kabinet.

“Seperti kata Zahid sendiri, apabila kerajaan perpaduan ditubuhkan, MCA sudah menyatakan bahawa kami tidak akan menyertai kabinet. Pendirian MCA kekal teguh sehingga hari ini,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama Teik Cheng berkata, kenyataan Presiden Umno secara terbuka ini telah menimbulkan persoalan, adakah kerjasama Umno-DAP wujud sebab diberikan ‘mainan’? Memandangkan Zahid mendakwa telah menjalankan tinjauan di kalangan akar umbi MCA dan MIC, maka beliau juga harus terlebih dahulu membuat tinjauan terhadap ahli Umno sendiri untuk melihat sama ada akar umbi Umno benar-benar menyokong kerjasama Umno-DAP?

“Hakikatnya DAP melawan BN selama berpuluh tahun.

“Bukan sahaja MCA, tetapi mereka juga menyerang dan menghina Umno dengan begitu dahsyat. Jika parti lain, saya tidak tahu.

“Tapi bagi MCA, kami adalah parti bermaruah, berprinsip dan tidak akan sesekali melutut hanya kerana mahu mendapatkan ‘mainan’,” katanya.

Terdahulu, Zahid dilaporkan berkata bahawa satu kajian mendapati ahli-ahli MCA dan MIC tidak mahu parti itu meninggalkan BN yang telah mereka sertai selama berpuluh tahun.

Beliau berkata, terdapat segelintir pemimpin parti tersebut yang ‘merajuk’ apabila tidak diberikan ‘mainan’, namun suara mereka tidak mencerminkan sentimen sebenar akar umbi.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat